Sabda Rasulullah s.a.w. :
كُلُّ بَنِى آدَمَ خَطَّاؤُوْنَ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ
"Sekalian anak Adam tidak sepi dari kesalahan-kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang segera bertaubat"

Rabu, 12 Oktober 2011

Dari Kanvas Hati Si Kecil

Bismillahirrahmanirrahim..



"Mak.. nak kahwin.."

Si emak mencebik..

"Ko tu dah sedia ke?"

"Tau masak dah?"

"Nak cari yang macam mana?"

Kalau di beritahu dah ada calon..

"Dia tu kerja ape?"

"Gaji sikit je??"


Subhanallah :). Rasanya kalau budak-budak remaja macam aku gi tanya soklan cepumas ni kat mak-mak dorang, agaknya kebanyakan jawapan macam sama seperti di atas kot. Ini lumrah manusia pada zaman sekarang. Tak boleh nak salahkan ibu ayah 100% dalam hal ni. Sebab zaman sekarang tak sama macam dulu. Pegangan masih sama cuma fahaman yang mula berubah. Kebanyakan ibu ayah sekarang sangat risau dengan perbezaan yang berlaku antara zaman mereka dengan zaman kini. Dulu kahwin atas aturan keluarga dah jadi satu kebiasaan, bilangan yang bercinta dulu sebelum kahwin pun boleh dikira. Tapi sekarang oleh kerana pemikiran manusia dah pun hampir separuh dieksploitasi oleh media-media, ketakutan menjadi keutamaan pada parents yang mempunyai anak-anak dara baik yang sedang belajar mahupun yang sudah bekerja.


Kebanyakan kes di mahkamah syariah banyak kes permohonan cerai kerana si suami tak bagi nafkah, isteri nusyuz (isteri yang tidak mentaati atau ingkar perintah suami dalam perkara yang tidak bertentangan dengan agama) dsb. Tak hairan kebanyakan ibu bapa zaman sekarang sangat berhati-hati dalam memilih menantu. Tapi kadangkala ibu bapa juga melakukan kesilapan dalam memilih calon menantu untuk anak gadis mereka. Percayalah yang zaman sekarang kebanyakan ibu bapa pasti meletakkan mahar (mas kahwin) yang tinggi kepada bakal menantu sebelum mendapat keizinan untuk berkahwin dengan anak mereka. Saya bersimpati dengan pemuda-pemuda diluar sana yang kalau diikutkan hukum syarak, sebahagian besar dari mereka sudah wajib untuk bernikah kerana gelodak nafsu yang membuak. Bukan ke kahwin tu mengelakkan dari berlaku perkara-perkara yang lebih teruk lagi?



Sebahagian dari masalah-masalah mereka pula, ibu bapa tidak faham keadaan jiwa mereka yang memberontak. Bila bersuara nak berkahwin, diperli tiada kerja yang bagus, gaji pun sekadar cukup-cukup makan. Si perempuan pula kebanyakannya akan ditanya dah pandai dalam bab dapur atau belum. Puncanya kerana serba-serbi kehidupan mereka juga berdasarkan material. Bukan hendak menegakkan benang yang sedia basah, anak-anak zaman sekarang tidak diterapkan nilai-nilai baik yang Islam ajarkan. Bila anak gadis tak dididik dengan ilmu agama yang cukup, tak mustahil mereka akan berpaling dari menghormati ibu ayah. Apalagi dalam soal memilih jodoh. Alangkah bahagianya hidup kalau berkeinginan bersuamikan lelaki/perempuan yang soleh, tetapi kebanyakan dari anak-anak muda zaman sekarang tidak mengambil kisah tentang kesolehan si lelaki/perempuan. Rumahtangga adalah seperti kapal yang mempunyai seorang nakhoda, selama dalam pelayaran, kapal memerlukan seorang ketua yang bijak membuat keputusan mengikut keadaan tertentu. Jika kapal yang dihuni oleh anak-anak kapal tidak diajar dan dikemudi dengan baik, tak mustahil anak-anak kapal tersebut akan menderhaka kepada ketuanya. Sama juga keadaannya seperti rumahtangga. Perkahwinan yang dibina berdasarkan rasa cinta kepada agama adalah yang terbaik kerana Allah sudah pun menciptakan jiwa manusia ini sangat suka pada kebaikan. Hanya kerana hasutan syaitan dan nafsu yang menggila membuatkan manusia tersilap membuat perhitungan termasuk membuat keputusan membabitkan hidup mereka.


Ini hanyalah pendapat dari seorang remaja yang membesar di akhir zaman. InsyaALLAH juga membesar dalam acuan agama yang baik. Dalam situasi yang lain pula, kadangkala ibu bapa sudah memberikan ilmu agama yang cukup pada anak-anak tetapi mereka tetap juga membuat keputusan yang tidak selari dengan apa yang telah mereka pelajari. Bagi perempuan, urusan kahwin adalah tanggungjawab ibu bapa. Mereka wajib mengkahwinkan anak mereka dengan lelaki yang dipercayai sikapnya boleh membahagiakan anak mereka dalam erti kata lain lelaki yang soleh. Tetapi kadang-kadang ibu bapa membiarkan anak-anak mereka membuat keputusan dan hasilnya hanya memuaskan. Sememangnya manusia tidak akan pernah sempurna, tetapi apabila sesuatu keputusan itu sudah dibuat, lebih-lebih lagi tanpa mendahulukan agama, kebanyakannya mereka akan merasa menyesal dan akhirnya hanya dapat bersabar dengan apa yang mereka hadapi.


Percayalah juga bahawa sesuatu perkara yang dilakukan kerana mendahulukan kepentingan agama akan membuatkan kita merasa tenang walaupun diuji dengan dugaan yang berat. Sesungguhnya ujian tu akan menjadi 'manis' bila kita selalu meletakkan sepenuh pergantungan pada Allah. Manusia boleh berubah 360 darjah walaupun dengan sekelip mata kecuali jika hatinya sudah 'terikat' dengan rasa cinta kepada Si Pemilik Hati. Segala yang berlaku pada aku selama ini juga menjadi pengajaran dan tauladan untuk aku berubah ke arah kebaikan dan seterusnya mencuba untuk berusaha meminta kepada Allah supaya dijodohkan dengan orang yang soleh. Tak salah jika kita meletakkan harapan yang tinggi kepada Allah kerana selalunya Allah tidak akan mengecewakan kita seperti manusia jika kita benar-benar tekad mahu berusaha untuk mengubahnya. Aku percaya halangan yang utama pada setiap manusia adalah dirinya sendiri. Jika kita tak boleh lepas dari 'cengkaman' nafsu sendiri, bagaimana pula kita mahu menegakkan perkara lain yang lebih besar lagi? Semuanya terletak pad diri kita dan Allah juga berkata ; Dia tidak akan mengubah nasib hamba-hambaNya kecuali kita sendiri yang berusaha untuk memperbaikinya. Dengan rasa rendah hati, aku sangat terpanggil untuk melihat sahabat-sahabat juga membuat perhitungan kembali tentang keputusan memilih pasangan hidup. Jangan biar diri kita menangis kerana perbuatan manusia yang sedia lemah. Allah sudah meninggikan darjat kita untuk memilih pasangan di kalangan orang-orang yang soleh. Ambil masa yang terbuang untuk memikirkan hakikat kehidupan. Selepas itu, aku sedia mendoakan kebahagiaan kalian di dunia & akhirat. Semoga kita mendapat jodoh yang baik untuk kebaikan kita dan generasi kita seterusnya. Wallahua'lam :)




Tulisan ini dibuat kerana hasil dari 'tinjauan' tak bertauliah dari pengalaman sahabat-sahabat, dari ruangan-ruangan media yang semakin 'murah' menjaja berita rumahtangga masyarakat kita terutamanya masyarakat melayu. Sejujurnya ini hanyalah pandangan kasar semata-mata. yang baik itu hanya datang dari Allah dan yang tidak baik datangnya dari aku yang polos! ;)

Rabu, 5 Oktober 2011

Recovery :)

Bismillahirrahmanirrahim..

"So when the time gets hard,
and there's no way to turn,
as He promised He'll always be there..."

Puas main game, tetiba teringat nak dengar lagu-lagu Maher Zain. Pusing 360 darjah sebab kadang-kadang hati terdetik tengah buat perkara lagha. Subhanallah. Cepat je hati manusia ni berubah. Baik dari tak elok pada elok, dari elok ke tak elok pun tak terkecuali. Selalu sangat bercelotah pasal nak menulis, nak menulis.. tapi takde jugak mulanya.. Aihh.. nak kena brainwash dulu ke? Tapi tak ada siapa nak tolong brainwash kan. Jadi sendiri mau ingat, brainwash la sendirik yer! :P

Hahaha.. salah satu treatment kesedihan bagi aku adalah ketawa. Moga-moga tak berlebihan sebab dengan ketawa automatik otak ni setting jadi ceria. Even sekejap pun, aku tetap ketawa untuk lupakan kesedihan yang datang. Memang la senang nak lupa rasa sedih, lepas tu lagi senang je sedih tu datang balik. Tapi hati dah selalu terdidik dengan sabar. Walau airmata menitis dalam ketawa, aku bersyukur Allah pinjamkan lagi nikmat kasih sayang bersama keluarga, sahabat yang memahami.. Manusia selalu mengeluh dengan kesedihan yang sedikit (termasuklah aku) (",).. sedangkan berjuta-juta manusia lagi sedih dengan kekecewaan yang berkali-kali ganda perit dari aku. Dan menulis juga salah satu hobi aku meluahkan segala rasa..

Ya Allah.. aku selalu lalai dan mudah lupa.. usai solat fardu sekelip mata pula berbuat perkara-perkara lagha..manusia mudah lupa..aku mudah lupa.. :(

Aku suka jenguk blog-blog orang..meniti tiap baris ayat yang dilayarkan..tersangat suka pada blog-blog yang mampu buat hati yang keras ni jadi lembut. Ingat Allah.. dengan mengingati Allah, hati kan menjadi tenang.. :) cemburu selalu datang dalam hati bila baca blog mereka-mereka yang penuh dengan nasihat keagamaan, mutiara kata dan hadis.. membuatkan pembaca berfikir, aku terkedu.. Bila kah sampai waktunya aku mampu menulis ke tahap itu? Aku tak nak jadi penulis yang suka merapu, syok sendiri.. manusia ada pelbagai ragam.. berbagai cara pemahaman yang berbeza.. aku memilih menulis dengan cara aku sendiri. Aku mohon selalu Allah pandu jari jemari ini walaupun kata-kata tak seindah pujangga, penuh harapan coretan dan segala isi hati yang diselitkan dengan hikmah dan hakikat kehidupan membantu. InsyaALLAH..

Namun dalam meniti perjuangan hidup yang sementara ini, aku sangat memerlukan sahabat-sahabat yang sealiran wasilah dan pendiriannya. Aku rindu zaman Friendster! Aku punya ramai sahabiah yang selalu mengingatkan aku tentang perjuangan ini, tapi atas kesilapan dan kebodohan, aku hilang mereka. Hanya Allah Maha Mengetahui betapa kesal nya hati kerana tidak mempertahankan silaturrahim. Dan atas sebab itu Allah uji lagi dengan memisahkan aku dengan sahabat yang aku kenali sejak dari kami mula mengenal ABC. Pilu.. Hanya kesabaran dan sahabat sejati yang memujuk. Aku tetap redha kerana aku yakin dengan rahmat Allah. Tiada yang kekal di dunia. Suatu masa semua yang kita miliki akan di ambil kembali oleh Pemilik Dunia. Dari situ aku belajar menghadapi kehilangan dan kesedihan. Semoga dengan doa, Allah beri kekuatan untuk menghadapi kehidupan ini dengan lebih matang. Aku mengharapkan yang terbaik buat sahabat-sahabat semua.. Aku hanya dapat berpesan, jagalah hati sahabat-sahabat kalian dan selalulah menghubungi dan bertanya khabar mereka. Sahabat sejati berkata Imam Ghazali menyatakan persahabatan bukan dengan banyaknya pertemuan tapi ingatan pada sahabatnya dalam ungkapan doa tapi kita manusia biasa sangat-sangat memerlukan kemesraan dan jalinan kasih sayang yang bukan saja ingatan tapi juga dalam bentuk pertemuan, ingatan dan perkhabaran pula adalah untuk menguatkan kemesraan.




Kita tak tahu macam mana isi hati kawan kita, sebaik-baiknya jagalah hati kawan-kawan kita dengan selalu bertanya khabar, bimbang lama-lama mereka memendam perasaan dan mungkin bertindak mengatakan atau melakukan perkara yang kita tidak pernah jangkakan (pengalaman sendiri).

"Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya kamu teringat mati..."


Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...