Sabda Rasulullah s.a.w. :
كُلُّ بَنِى آدَمَ خَطَّاؤُوْنَ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ
"Sekalian anak Adam tidak sepi dari kesalahan-kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang segera bertaubat"

Rabu, 12 Oktober 2011

Dari Kanvas Hati Si Kecil

Bismillahirrahmanirrahim..



"Mak.. nak kahwin.."

Si emak mencebik..

"Ko tu dah sedia ke?"

"Tau masak dah?"

"Nak cari yang macam mana?"

Kalau di beritahu dah ada calon..

"Dia tu kerja ape?"

"Gaji sikit je??"


Subhanallah :). Rasanya kalau budak-budak remaja macam aku gi tanya soklan cepumas ni kat mak-mak dorang, agaknya kebanyakan jawapan macam sama seperti di atas kot. Ini lumrah manusia pada zaman sekarang. Tak boleh nak salahkan ibu ayah 100% dalam hal ni. Sebab zaman sekarang tak sama macam dulu. Pegangan masih sama cuma fahaman yang mula berubah. Kebanyakan ibu ayah sekarang sangat risau dengan perbezaan yang berlaku antara zaman mereka dengan zaman kini. Dulu kahwin atas aturan keluarga dah jadi satu kebiasaan, bilangan yang bercinta dulu sebelum kahwin pun boleh dikira. Tapi sekarang oleh kerana pemikiran manusia dah pun hampir separuh dieksploitasi oleh media-media, ketakutan menjadi keutamaan pada parents yang mempunyai anak-anak dara baik yang sedang belajar mahupun yang sudah bekerja.


Kebanyakan kes di mahkamah syariah banyak kes permohonan cerai kerana si suami tak bagi nafkah, isteri nusyuz (isteri yang tidak mentaati atau ingkar perintah suami dalam perkara yang tidak bertentangan dengan agama) dsb. Tak hairan kebanyakan ibu bapa zaman sekarang sangat berhati-hati dalam memilih menantu. Tapi kadangkala ibu bapa juga melakukan kesilapan dalam memilih calon menantu untuk anak gadis mereka. Percayalah yang zaman sekarang kebanyakan ibu bapa pasti meletakkan mahar (mas kahwin) yang tinggi kepada bakal menantu sebelum mendapat keizinan untuk berkahwin dengan anak mereka. Saya bersimpati dengan pemuda-pemuda diluar sana yang kalau diikutkan hukum syarak, sebahagian besar dari mereka sudah wajib untuk bernikah kerana gelodak nafsu yang membuak. Bukan ke kahwin tu mengelakkan dari berlaku perkara-perkara yang lebih teruk lagi?



Sebahagian dari masalah-masalah mereka pula, ibu bapa tidak faham keadaan jiwa mereka yang memberontak. Bila bersuara nak berkahwin, diperli tiada kerja yang bagus, gaji pun sekadar cukup-cukup makan. Si perempuan pula kebanyakannya akan ditanya dah pandai dalam bab dapur atau belum. Puncanya kerana serba-serbi kehidupan mereka juga berdasarkan material. Bukan hendak menegakkan benang yang sedia basah, anak-anak zaman sekarang tidak diterapkan nilai-nilai baik yang Islam ajarkan. Bila anak gadis tak dididik dengan ilmu agama yang cukup, tak mustahil mereka akan berpaling dari menghormati ibu ayah. Apalagi dalam soal memilih jodoh. Alangkah bahagianya hidup kalau berkeinginan bersuamikan lelaki/perempuan yang soleh, tetapi kebanyakan dari anak-anak muda zaman sekarang tidak mengambil kisah tentang kesolehan si lelaki/perempuan. Rumahtangga adalah seperti kapal yang mempunyai seorang nakhoda, selama dalam pelayaran, kapal memerlukan seorang ketua yang bijak membuat keputusan mengikut keadaan tertentu. Jika kapal yang dihuni oleh anak-anak kapal tidak diajar dan dikemudi dengan baik, tak mustahil anak-anak kapal tersebut akan menderhaka kepada ketuanya. Sama juga keadaannya seperti rumahtangga. Perkahwinan yang dibina berdasarkan rasa cinta kepada agama adalah yang terbaik kerana Allah sudah pun menciptakan jiwa manusia ini sangat suka pada kebaikan. Hanya kerana hasutan syaitan dan nafsu yang menggila membuatkan manusia tersilap membuat perhitungan termasuk membuat keputusan membabitkan hidup mereka.


Ini hanyalah pendapat dari seorang remaja yang membesar di akhir zaman. InsyaALLAH juga membesar dalam acuan agama yang baik. Dalam situasi yang lain pula, kadangkala ibu bapa sudah memberikan ilmu agama yang cukup pada anak-anak tetapi mereka tetap juga membuat keputusan yang tidak selari dengan apa yang telah mereka pelajari. Bagi perempuan, urusan kahwin adalah tanggungjawab ibu bapa. Mereka wajib mengkahwinkan anak mereka dengan lelaki yang dipercayai sikapnya boleh membahagiakan anak mereka dalam erti kata lain lelaki yang soleh. Tetapi kadang-kadang ibu bapa membiarkan anak-anak mereka membuat keputusan dan hasilnya hanya memuaskan. Sememangnya manusia tidak akan pernah sempurna, tetapi apabila sesuatu keputusan itu sudah dibuat, lebih-lebih lagi tanpa mendahulukan agama, kebanyakannya mereka akan merasa menyesal dan akhirnya hanya dapat bersabar dengan apa yang mereka hadapi.


Percayalah juga bahawa sesuatu perkara yang dilakukan kerana mendahulukan kepentingan agama akan membuatkan kita merasa tenang walaupun diuji dengan dugaan yang berat. Sesungguhnya ujian tu akan menjadi 'manis' bila kita selalu meletakkan sepenuh pergantungan pada Allah. Manusia boleh berubah 360 darjah walaupun dengan sekelip mata kecuali jika hatinya sudah 'terikat' dengan rasa cinta kepada Si Pemilik Hati. Segala yang berlaku pada aku selama ini juga menjadi pengajaran dan tauladan untuk aku berubah ke arah kebaikan dan seterusnya mencuba untuk berusaha meminta kepada Allah supaya dijodohkan dengan orang yang soleh. Tak salah jika kita meletakkan harapan yang tinggi kepada Allah kerana selalunya Allah tidak akan mengecewakan kita seperti manusia jika kita benar-benar tekad mahu berusaha untuk mengubahnya. Aku percaya halangan yang utama pada setiap manusia adalah dirinya sendiri. Jika kita tak boleh lepas dari 'cengkaman' nafsu sendiri, bagaimana pula kita mahu menegakkan perkara lain yang lebih besar lagi? Semuanya terletak pad diri kita dan Allah juga berkata ; Dia tidak akan mengubah nasib hamba-hambaNya kecuali kita sendiri yang berusaha untuk memperbaikinya. Dengan rasa rendah hati, aku sangat terpanggil untuk melihat sahabat-sahabat juga membuat perhitungan kembali tentang keputusan memilih pasangan hidup. Jangan biar diri kita menangis kerana perbuatan manusia yang sedia lemah. Allah sudah meninggikan darjat kita untuk memilih pasangan di kalangan orang-orang yang soleh. Ambil masa yang terbuang untuk memikirkan hakikat kehidupan. Selepas itu, aku sedia mendoakan kebahagiaan kalian di dunia & akhirat. Semoga kita mendapat jodoh yang baik untuk kebaikan kita dan generasi kita seterusnya. Wallahua'lam :)




Tulisan ini dibuat kerana hasil dari 'tinjauan' tak bertauliah dari pengalaman sahabat-sahabat, dari ruangan-ruangan media yang semakin 'murah' menjaja berita rumahtangga masyarakat kita terutamanya masyarakat melayu. Sejujurnya ini hanyalah pandangan kasar semata-mata. yang baik itu hanya datang dari Allah dan yang tidak baik datangnya dari aku yang polos! ;)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...