Sabda Rasulullah s.a.w. :
كُلُّ بَنِى آدَمَ خَطَّاؤُوْنَ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ
"Sekalian anak Adam tidak sepi dari kesalahan-kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang segera bertaubat"

Selasa, 24 Mei 2011

Karya Hlovate : Belum Hadam!

Bismillahirrahmanirrahim..

Semenjak diberitahu oleh seseorang mengenai karya Hlovate, rasanya macam dah tak senang duduk bila belum lagi dapat membaca buku tersebut. Sis..! Geramnye.. Hahah.. Hasil dari meng'google, dapat la jugak wajah muka depan novel karya beliau. Yang Sis kata best buku yang bertajuk '5 tahun 5 bulan' dan 'Rooftop Rant'. Kebanyakannya novel beliau dari terbitan JemariSeni Publishing. Boleh rujuk di laman web www.jemariseni.com. Jangan risau, keduanya memang berbahasa melayu. Puas dah cari kot-kot ada 'pdf' untuk download novel-novel tu tapi tak dapat pun. Huhh.. Memang hampa.









Mengikut penceritaan spontan dari Sis, buku karya Hlovate menjadikan pembaca merenung kembali masa silam sendiri. Selalunya yang banyak saya dengar, bila baca novel ni emosi dan minda akan berkhayal tentang apa yang sedang diceritakan dalam novel-novel tersebut. Eh.. sebenarnya diri sendiri pun sama. Masa zaman sekolah dulu sangat suka baca novel cinta. Mungkin sebab alam realiti tak mengalami perkara-perkara indah macam dalam novel. Huhu.. Tapi memang dah hakikat hidup tak selalunya indah. Jadi marilah kita berpijak dibumi yang yang nyata. Kadang-kadang mood nak baca novel tu datang, tapi semata-mata nak hadam cara penulisan yang berbeza dari apa yang difikirkan. Bukan menciplak ok! Tapi memperbaharui. Lalala..

Berbalik pada karya yang didedahkan, sebenarnya tak pernah dengar nama penulis ni, sebab dulu dah biasa dengan novel terbitan Alaf 21 dan Buku Prima. Itu pun dah lama ditinggalkan. Sebab utama adalah tiada bajet. Hahah.. Nak ubah selera bacaan pun salah satu sebab jugak. Asik tukar selera makan je kan. Saya tak kata baca novel cinta merugikan. Tidak sama sekali! Maafla tak dapat nak bagi contoh sebab memang tak pro bab nak tulis sinopsis novel. Cuma jiwa belia ni dah mula tertarik pada buku-buku novel yang boleh membina akhlak dan sahsiah. Dah tak best nak baca novel yang cerita tentang heroin yang cantik-cantik belaka. *jeles*

Kalau ada di antara anda yang dah dapat baca karya Hlovate ni, saya ucap tahniah la. Sebab saya sendiri belum dapat baca. Nak mintak belas kasihan tolong pinjamkan takut pulak. Hahah.. Gurau je. Sengaja nak post entry pasal novel ni sebab bila Sis dah cerita sikit rasa macam teruja nak baca. Hasil carian terjumpa sikit sinopsis dari buku 'Rooftop Rant'. Sis pun kata 'Rooftop Rant' lagi best dari '5 tahun 5 bulan' yang best. Ishh.. sangat best la tu kan :).

Sepintas lalu..

Dengarkan HLOVATE berbicara:
tentang hikayat Rooftop Rant dari puncak Wisma Topaz ini...
tentang Trisy dan Jade...
tentang bukit yang sayup di depan
tentang angin yang membawa salam di belakang
tentang lang sewah yang berlegar melayah di atas
tentang deretan kenderaan yang bersesak-sesak di bawah
dan mereka terus bercerita...
sesudah berani meruntuhkan tembok hati dan dinding rasa
mampukah dibeli tangga-tangga untuk mencapai cita-cita?
ini cerita sebuah bicara
bicara bumbung namanya..

_________________________


Sinopsis dari belakang buku : 5 tahun 5 bulan


Menjadi orang gaji di rumah Encik Latfy sebenarnya tidak sesusah mana kalau tidak kerana Along Serbia yang sarkastik tu...

Ini bukan asam pedas ni. Dah macam masam-kelat-pedas aje.
Masin sangat la ni. Lain kali nak letak garam banyak mana timbanglah dulu.
Nak bagi kita orang kena diabetes ke Cik Ana oi...?
Bancuh Along kopi. Kurang gula. Tapi campur sikit honey.

Namun inilah permulaannya dia belajar menajdi seorang Ana... dan dari sini jugalah Ana semakin dewasa dalam setiap episod kehidupannya....

Kata Ana: Saya bukan orang yang dicari, Along. Ana yang Along kenal bukan Jo yang sepatutnya Along kenal.

Kata hati Along: Tanpa diduga dia mengenali seorang Jo di dalam Ana.

Siapa Ana? Dan siapa pula Jo di dalam hidup Along?

Sepertimana dia cekap sebangai orang gaji begitulah dia 'cekap' mengendalikan dirinya sebagai pelajar di Universiti of Aberdeen. Namun apabila datang bab 'hati' ada yang tidak kena dengannya sejak mula. Hatinya pernah berperi:boys're stupid. Some men too.

Hlovate mengungkap roman-komedi ini dalam bahasa basah serta jenaka yang selamba. Pelajar luar negara ini mengadun 5 Tahun 5 Bulan secukup rasa; enak di mulut; erkhasiat di minda; penawar di hati...mengisi nurani..


Isnin, 23 Mei 2011

Kelahiran Semula :)

Bismillahirrahmanirrahim..




Sebenarnya ilmu yang hendak dikongsi dalam laman sepi saya ni amat diharapkan menjadi ilmu juga buat sahabat yang sudi membaca. Kalau berbalik pada tujuan asal blog ini ditubuhkan pun, hanya sekadar suka-suka untuk isi masa lapang. Dan bila masa berubah, tujuan masih tetap sama tapi hanya mahu ditambahkan sedikit untuk menjadi laman yang boleh memberi manfaat kepada saya dan juga yang sedang membaca. Selain tiada pekerjaan khusus buat masa sekarang, penulisan adalah sebagai hobi yang sangat saya minati sejak dari bangku sekolah lagi. Cuma kadang kala ada impian yang belum tercapai, malah yang sedang diusahakan pun pernah terbengkalai. Nak memujuk diri sendiri sebenarnya susah sangat. Tambah lagi dengan pandangan orang sekeliling. Dah jatuh lagi tersungkur. Jadi nak bangun balik tu kena merangkak sikit dulu, ambil masa lama jugak la nak berdiri.

Siapa kata semangat dah kuat?

Selain family yang selalu berada disamping, sempat juga menjenguk laman-laman Facebook sahabat-sahabat realiti & maya. Tersentuh hati bila melihat perkembangan mereka. Yang dulu pernah satu kelas, bersama-sama bergelak tawa, kini dah berjauhan dan sedang berjuang dalam bidang yang mereka ceburi. Alhamdulillah. Perasaan bangga tak pernah putus bila tahu kawan-kawan sedang dalam mujahadah untuk mengejar cita-cita. Walaupun diri sendiri belum lagi nampak hasilnya tapi masih tetap redha dengan ujian Allah :).

Kegagalan adalah satu titik permulaan dalam hidup saya. Dalam kegagalan, saya bertemu dengan 'pengalaman' yang tidak akan saya dapat jika hanya beroleh kejayaan. 'Manisnya' erti kegagalan itu bila selepasnya saya mahu bangkit kembali dalam versi saya yang 'baru'. Seperti 'dilahirkan' semula, saya bersyukur 'kelahiran' kali ini berjaya mendapat redha ibu & abah. Alhamdulillah.

Perkembangan Saya

Pada mulanya tak berhasrat untuk menulis tentang diri saya dalam laman ini. Tapi semenjak mendapat tahu ada yang mahu tahu perkembangan terbaru tentang status dan keadaan saya kini, jadi saya hidangkan dengan berlapang dada. Alhamdulillah, mereka masih mengingati saya walaupun kami berjauhan. Ikatan keluarga tak akan putus walaupun beribu batu jarak pemisahnya. Terus-terang saya rindu zaman kanak-kanak yang membolehkan kami bergurau senda sentiasa. Berbeza dengan kini, masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri. Tanggungjawab terhadap 'study' dan macam-macam lagi menjadikan kami sudah jarang berhubung antara satu sama lain. Semoga dengan doa, kasih sayang antara kami sentiasa utuh walaupun sama-sama sudah berusia kelak. InsyaAllah.

Sebetulnya sudah lama menyimpan rahsia yang tidak mahu sesiapa pun tahu. Baik ahli keluarga sekalipun. Tapi sejak akhir-akhir ni dah mula sedar, ada yang berkata-berkata kerana mereka sendiri tidak tahu :). Tak pernah sekelumit perasaan tidak senang pun lahir dari hati bila mengetahui mereka mendapat tahu serba sedikit tentang sejarah yang pernah dilalui suatu masa dulu. Kerana jika Allah sudah berkehendakkan sesuatu, maka akan jadilah juga walaupun bukan dengan kerelaan hati. Memujuk diri sendiri, Allah membuka keaiban hambaNya tidak lain untuk menjadi pengajaran terutama sekali buat saya. Dan kerana itu, bila hati mula sebak dengan tangisan yang tak dijemput, sekali lagi Allah memberi hiburan melalui kalamNya. Proses memujuk diri sendiri terus berjalan dan akan tetap berjalan bila ada yang bertanya :).




Untuk pengetahuan yang ingin mengetahui, sebenarnya saya TIDAK pun menamatkan diploma di kolej yang berkenaan. Atas kesilapan yang datangnya dari diri sendiri, kesulitan telahpun berlaku ketika saya sedang berada di kolej berkenaan. Jika masih tertanya-tanya, anggap saja semuanya atas takdir Allah untuk saya yang hina lagi dhaif :). Sungguh sesuatu perkara itu berlaku akan ada hikmahnya dan kini saya sudahpun mendapat kelebihan dari kekhilafan yang telah berlaku iaitu harga kasih sayang seorang ibu dan ayah. Tiada yang lebih membahagiakan selain dari dapat menabur bakti yang cuma sedikit kepada mereka yang telah menumpahkan airmata yang tidak terkira bilangannya ketika berusaha mendidik seorang anak yang degil dan keras hati ini.

Pelan B

Semasa baru je buat keputusan untuk 'menamatkan' sendiri pengajian di kolej tersebut, memang belum terlintas lagi apa pelan yang seterusnya. Masa tu hanya ingat ibu & abah. Betapa rindunya hati bila lama tak bersua muka, jadi rasa gembira tu memang tak dapat nak diungkap sebab selepas ni memang akan sentiasa dapat menatap wajah suci mereka. Subhanallah. Apa yang telah pun Allah aturkan, telah menjadi satu anugerah terindah buat saya. Masa tu tak peduli apa yang orang lain perkatakan, buruk yang dicanangkan menjadikan saya lagi kuat untuk terus kepada keputusan ini. Sekali lagi, yang penting ibu & abah redha :).

Sekarang, saya masih berada di sini, di hadapan laptop, di dalam rumah, bahagia dengan kehidupan yang sederhana kurniaan Allah. Dengan penuh pengharapan akan sentiasa redha dengan apa jua jalan yang Allah kehendaki atas hambaNya yang hina ini. Walaupun dalam pandangan orang sekeliling, tiada usaha yang dizahirkan, biarlah Allah jua yang Maha Mengetahui segala isi hati saya yang sedang membina impian baru pula untuk menjadi seorang anak yang baik dan solehah. Walaupun cita-cita asal tidak tercapai, Allah memberi pilihan untuk menyesuaikan diri dengan 'cita-cita' yang baru. Semoga dengan rahmat Allah, suatu masa nanti akan diberi peluang untuk menjadi seorang mahasisiwi sekali lagi.

"Ika memohon berjuta kemaafan sekiranya apa yang telah berlaku menjadikan kalian menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap Ika yang tidak berfikir panjang. Mohon tidak sekali-kali menuding jari kepada Ibu & Abah kerana mereka sama sekali tidak bersalah dengan kesilapan yang terjadi. Jika dengan sengaja mereka tidak memberitahu perkara sebenar, semuanya adalah kerana atas permintaan Ika..."

Berhasrat untuk mengakhiri segala persoalan ahli keluarga dan sahabat-sahabat. Segala pertanyaan selepas ini akan dibiarkan secara 'gantung tidak bertali'. *wink*

Wallahua'lam.

Khamis, 19 Mei 2011

Sayang Suami.. Cinta Isteri..

Bismillahirrahmanirrahim..

Apabila seorang lelaki dan wanita melangkah ke alam perkahwinan,
setiap mereka membayangkan kebahagiaan ada di depan sana, kerana
CINTA mereka telah berpadu dalam satu ikatan, tetapi
sebenarnya `cabaran-dugaan hidup' yang lebih mencabar sedang menanti...

Setelah cita-cita untuk berkahwin tercapai, ia bukan la menjamin kebahagiaan seseorang.

Sebaik selesai diijabqabulkan, di sini bermula `cabaran-dugaan-masalah'.
Bagaimana menjaga sensitiviti pasangan masing-masing, mertua,
tanggungjawab, ekonomi dan seribu satu macam masalah lagi...

Jangan menafikan ini semua!

Hanya pasangan yang tabah, sabar, berwawasan dan yakin sahaja sanggup
menghadapi dugaan serta masalah tersebut dan akan terus melayari
bahtera mereka hingga ke akhir hayat...
Tidak kurang juga pasangan yang kecundang, karam dan lemas...
Ini disebabkan kelemahan jiwa mereka...

Di saat itu, mereka memerlukan orang ketiga sebagai penasihat...
Dan berhati-hatilah mencari penasihat, kerana TERkadang, penasihat
juga boleh menjerumuskan ke arah kehancuran rumahtangga tersebut.
Jangan ambil penasihat yang berciri BATU ASAH...

Pendapat soul, (serlahkan pendapat anda juga), ` perkahwinan itu
sendiri' "mengambil masa" untuk `proses penyesuaian' antara lelaki dan wanita.'
Selagi kita tidak tinggal sebumbung, jangan sesekali kita katakan
kita sudah cukup kenal seseorang...

Sesetengah orang berpendapat, mereka perlu mengenali pasangan mereka
sebelum menikah...Dengan kata lain "bercinta dulu..."
Ada yang berjaya dan ada yang masih gagal mengenali pasangan mereka.

Ada perkahwinan yang terjadi tanpa pernah berlaku pertemuan atau perkenalan...
Ada yang berjaya dan ada juga yang gagal...

Kebahagiaan sesebuah mahligai, tidak datang menggolek...
Kebahagiaan rumahtangga perlu dipupuk...

Semuanya terletak kepada ANDA, `suami dan isteri', bagaimana
mengemudikan bahtera rumahtangga tersebut?

Setiap pasangan meng'impi'kan pasangan yang akan memenuhi naluri atau impian mereka.
Aku juga tidak terkecuali dengan impian itu...

Sebelum aku melangkah ke gerbang perkahwinan, aku meng'angan'kan
suami yang BERIMAN, (bagiku, kalau dah beriman yang lain-lain akan
lahir la, bertanggungjawab, sabar, pengasih, timbang rasa, tolak-
ansur, persefahaman, cemburu dan jenaka.)

Sebaik cincin disarung ke jarimanisku, ingin saja aku berbisik kepadanya,

"Abang, andai abang impikan mahligai kita bahagia, semaikan keiman
kepadaku dan anak-anak, bajai dengan kasih sayang, siramilah dengan
persefahaman, belailah dengan tolak-ansur, renjiskan sedikit api
cemburumu dan gemburkan dengan jenakamu..."

Tapi sayang, aku tidak berpeluang berbuat demikian...

Membentuk keluarga bahagia bukan la semudah kita melafazkan, " Aku mahu keluarga bahagia."

Sesiapa sahaja menginginkan keluarga bahagia. Tahukah kalian,
rumahtangga bahagia `tidak ujud' hanya dengan kata-kata...
Ia memerlukan kesabaran, usaha dan yang paling utama pengorbanan...
Pengorbanan suami-isteri ke arah itu...

Kesungguhan suami-isteri membentuk keluarga bahagia memerlukan ilmu (teori).
Ilmu bukan setakat teori sahaja, tetapi untuk di praktikkan!

"Rata-rata kita lihat lebih teori dari praktikal"

Rumahtangga bahagia, keluarga harmoni adalah cita-cita aku dan aku
ingin merealisasikan sampai bila-bila...kerana aku berpendapat,
keharmonian itu bermula dari rumah...
"Rumahku, Syurgaku."

Kekadang kaum wanita terpaksa beraksi pelbagai cara, kekadang
bersopan-santun, kekadang tunjukkan ketegasan..

Ingatlah perpatah ini " LEMBUT WANITA BUKAN UNTUK DIPULAS..."

Kalau terpaksa berkeras, jadi la sekeras waja, kerana waja itu masih boleh di tempa...
Jangan kau jadi sekeras batu?kerana batu tidak mudah untuk dibentuk...
Ada masa kau perlu menunjukkan PENDIRIANmu...

Kebanyakan lelaki dambakan wanita `cerdik'...
Cerdik bukan hanya kerana ijazahnya kelas pertama..tetapi cerdik
untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran rumahtangga...
Cerdik dalam membuat keputusan bila suami dalam kebuntuan...
Cerdik mendidik anak-anak,
Cerdik dalam `argument' dan lojik?.
Jangan hanya jadi `pak turut'?

Wanita pula dambakan lelaki yang ` alert'...
Jangan setelah melakukan kesilapan baru mengaku TERsilap...
Lelaki hendaklah cekap dalam menangani masalah...
Jangan biarkan masalah menjadi `api dalam sekam...'
Bila parah, baru hendak bertindak...Saat itu mungkin sudah TERlambat,
kerana `sekam' telah menjadi abu dan tidak dapat diperbetulkan lagi keadaan...

Wahai wanita yang dipanggil isteri, taatlah suamimu selagi dia tidak menyekutui Allah dan RasulNya...
Wahai lelaki yang dipanggil suami, jangan engkau menyusahkan
isterimu, selagi isterimu tidak menderhaka kepadamu, Allah dan RasulNya...

`Beriman dan bertanggungjawab' memainkan peranan yang penting dalam rumahtangga...
Dan, jangan sesekali menuntut "suami" sahaja, atau "isteri" sahaja memainkan peranan...
Sebenarnya, peranan itu untuk kedua-dua pihak..."suami-isteri."

Itu la taarif "perkongsian hidup"...Peranan kedua-dua.
"Kongsi kasihsayang, tanggungjawab, kesetiaan dan seribu macam yang
berkaitan dengan hubungan kedua insan yang bernama `suami dan isteri...'

`Teori' jangan hanya untuk mencari kelemahan pasangan kita...
TETAPI kedua-dua pihak WAJIB menunjukkan keIMANan dan TANGGUNGJAWAB masing-masing...
(`menunjukkan' di sini bukan bermaksud untuk dibangga-banggakan
TETAPI sebagai AMALAN -PRAKTIKAL)

Contohnya: Jika suami leka menonton bola dan melambatkan sembahyang.
Isteri WAJIB beri peringatan...
Begitu la sebaliknya jika isteri pula leka...

Aku ingin berpesan kepada wanita, sebagai isteri, jangan sesekali
gentar atau takut untuk memperingati KELALAIAN suami...
Biar dia marah kita, katakan, `Allah lebih marah perbuatanmu...'
Dan, katakan `kita hanya takut kepada kemurkaan Allah...'
Jika suami itu seorang yang beriman, pasti dia akan tersedar dan
ber'terima kasih' kerana menyedarkanya dari kelalaian itu...
Tetapi kalau suami yang ego, pasti terdapat bantahan...Biarkan dia berbantah...
Sekurang-kurangnya, tanggungjawab kita sebagai isteri untuk memberi peringatan telah kita laksanakan...

Sabda Rasulullah SAW:
"Wahai suami, didiklah isteri dan anak-anakmu, kerana semua itu
dibawah pimpinanmu dan di akhirat nanti, engkau akan dipersoal terhadap kepimpinanmu?"

Suami dan isteri adalah watak utama dalam pentas rumahtangga dan
mereka perlu "berganding bahu" dengan utuh untuk membentuk `keluarga bahagia...'
Jangan sesekali `suami' menunding kepada `isteri' atau `isteri'
menunding kepada `suami' bila berlaku atau terjadi kesilapan dan
kelalaian, kerana jika salah seorang mereka `sedar' terjadi kelalaian
tersebut, kenapa tidak `diberi peringatan' kepada pasangan kita?

Manusia sentiasa alpa...

Di sini ilmu amat penting...
Didik dengan lemah-lembut, tetapi `tegas' atau 'keraskan' suaramu
jika terdapat KEDEGILAN di situ...
Jangan biarkan `dia' mempermainkan perintah Allah SWT!

Alam perkahwinan itu `amat manis'...semanis berbulan madu, tetapi
menjadi `amat pahit'...sepahit hempedu, jika pasangan tidak memainkan
peranan yang sepatutnya seperti Allah telah tetapkan dan dipratikkan oleh RasulNya...

Kita tidak mungkin menjadi isteri/ibu, suami/ayah
yang `perfect'...tetapi memadai, "tanggungjawab" kita tunaikan sebaik
mungkin untuk pasangan kita dan anak-anak...

Cuba tunaikan HAK pasangan kita pun dah cukup..HAK isteri dan HAK suami...

Dan pesanan terakhir, "Jangan biarkan pasangan anda tidur sebelum
berdamai, kerana tidur dalam keadaan perasaan TERTEKAN begitu tidak
merehatkan rohani dan jasmani?dan lagi, bimbang kekalau di taqdirkan
Allah...pasangan anda meninggal dalam tidur...kot-kot anda menghadapi
tekanan jiwa yang teruk pulak..."



*Sangat suka bila pertama kali membaca nukilan dari sahabat di forum halaqah.net dan hati pun tergerak untuk berkongsi. Istimewa buat sahabat-sahabat yang bakal dan sudah pun mendirikan rumah tangga. Saya cemburu dengan kebahagiaan kalian tetapi sekurang-kurangnya Allah sedang memberi peluang untuk mempersiapkan diri menghadapi alam rumahtangga kelak*


Wallahua'llam.

Rapuh....

Bismillahirrahmanirrahim..

Suasana pagi di rumah yang sunyi, membuatkan hati sayu teringat peristiwa malam tadi. Tersentap. Namun Allah Maha Mengetahui segalanya. Apa yang sudah berlaku sepatutnya sudah pun ditanam dalam hati untuk tidak mengulanginya lagi. Hakikat kebenaran itu sebenarnya sepahit kopi yang tak bergula. Hitam dan pekat. Sama juga dengan apa yang dirasa oleh hati. Seolah kelam dan tidak bermaya lagi.

Sungguh Allah menguji mengikut kemampuan hambaNya. Jadi langkah seharusnya diteruskan. Pengajaran yang dikutip adalah untuk mematangkan diri dan belajar mengenai manusia yang akan terus menghukum. Dan.. pada siapa pula diperlukan untuk berpaut? Bukan selonggok harta yang akhirnya akan menghambur kembali ke kancah dosa. Bukan juga pautan pada sekuntum cinta yang menanti. Tapi pada Dia yang sentiasa memerhati. Dalam keadaan berdosa dan tidak, Dia masih mengerti. Dalam ketika syukur tidak lagi menjadi bait-bait di bibir. Dia masih menyayangi. Lalu ku pasakkan sekuatnya jauh di dasar hati dan jiwa yang lemah, kesabaran dan redha menjadi mujahadah yang tak akan berhenti selagi bernyawa sebagai manusia. Perbandingan sesama manusia hanya sia-sia belaka kerana bertunjangkan nafsu. Dan aku pun kembali menguatkan semangatku sendiri. Kelemahanku berjuang di atas kaki sendiri adalah kejayaan buat syaitan durjana.

Ya Allah..
Mujahadah ini akan semakin mudah dengan bantuanMu..
Semoga Aku dipilih menjadi hamba yang sentiasa bersyukur walau
seberapa berat kadar ujian yang Kau beri..
Aku hanyalah umpama sebutir pasir di tengah kepanasan yang luas..
Bila dengan kasih sayangMu ya Allah..
Aku umpama cahaya menerangi diri dan sekelilingku..
ameen..ameen..



Ahad, 15 Mei 2011

Semakin Tua




Kek ni membuatkan saya meleleh air liur dan teringat
pada kek Nur Azyyati.. Huhu..


Bismillahirrahmanirrahim..


Alhamdulillah. Hari ini genap berusia 21 tahun. Masih lagi sihat dalam jagaan-Nya. Berjuta-juta terima kasih untuk kawan-kawan yang 'wish'. Hanya Allah je yang tahu betapa terharunya hati bila membaca setiap ucapan dari kawan-kawan lama dan baru. Ramai sangat kawan-kawan lama yang dah bertahun tak jumpa. Semoga kalian sentiasa sihat dan diberi rezeki yang melimpah ruah. Insya Allah. :)

Dah sangat jarang sebenarnya untuk duduk berlama didepan laptop dan menulis. Nak menulis tapi sangat takut apa yang ditulis hanya sia-sia tanpa memberi manfaat pada orang lain. Teringat balik sepanjang 21 tahun hidup di bumi Allah, pernah masa di zaman sekolah rendah lagi berazam nak tulis diari tentang apa sahaja aktiviti yang berlaku seharian, akhirnya azam hanya tinggal azam dan aktiviti yang berlaku hanya mampu menjadi kenangan di dalam kotak memori saje, tapi memang betul pun diri ni bukanlah seorang yang sangat rajin menulis. Buktinya sekarang blog lebih suka ditinggalkan usang. Hohoho..

Walaubagaimana pun, hari ini tetap cuba juga memeras kepala otak untuk menulis. Mungkin tak ada manfaat langsung pun bagi orang lain, cuma mahu menjadi seorang yang ada usaha untuk melakukan sesuatu yang disukai. Hanya ini je sebenarnya kesukaan yang masih tinggal. Maklum je, sekarang dah jadi suri rumah tak bertangga. Berkhidmat untuk ibu dan abah menjadikan diri sikit sibuk untuk melakukan perkara-perkara yang menjadi kesukaan sendiri.

"Err..sibuk sangat ke duduk rumah ni?"

Sakit gak hati bila ada seorang makhluk Allah tu tanya soalan macam ni. Jadi dibiarkan soalan tu tergantung sendiri. Nasib baik jugak bagi sms je. Bolehla biarkan tanpa jawapan. Lalala..

Saya memang jahat..! Hahahaha..!!!

Sape suruh bagi soalan macam tu. Kalau bagitau suruh rasa sendiri pun, dia tak kan boleh faham sebab seseorang yang berlainan fitrah dan jantina tidak mungkin dapat memahami situasi seseorang yang berlainan jantina darinya ( kesimpulan sendiri ). Jadi biarkan je lah. Semua manusia dilahirkan berbeza-beza. Lain takdirnya, lain fitrahnya, dan macam-macam lagi yang lainnya. Tak mudah untuk memuaskan hati semua orang. Kadang-kadang sangat terasa jugak bila masa tengah sorang-sorang, fikir masa depan, airmata boleh berbekas hanya sebab memikirkan mulut-mulut orang yang akan sentiasa bercakap.


Prinsip baru : Berusaha untuk tidak mendengar cakap-cakap orang lain melainkan PARENTS sahaja.

Yang bermaksud : Sebaik-baik redha adalah redha itu datangnya dari ibu dan ayah kita sendiri. Bahkan Allah juga kata jika ibu dan ayah tidak redha dengan anaknya, maka Allah juga tidak akan menjamin keselamatan / kebahagiaan seseorang itu. Jadi dengar cakap ibu dan abah je lah. Ngee..


Bagi yang menerima alasan ini alhamdulillah. Bagi yang tidak itu adalah hak masing-masing kerana kita juga mempunyai ibu dan bapa yang berlainan sikapnya. Tepuk dada tanya iman. Mungkin saya menulis tidak pada skop yang umum tapi sekurang-kurangnya saya mahu berkongsi pendapat dengan kawan-kawan yang sudi membaca. Jika kita mahu memberi peluang kepada diri kita sendiri untuk memikirkan betapa besarnya pengorbanan ibu dan ayah, sekeras-keras hati seorang lelaki pun mampu menitikkan airmata kerana selama ini mereka membesarkan anak-anak tanpa rasa jemu. Walaupun hati mereka kadangkala terguris dan terasa dengan karenah anak-anak, mereka tetap redha dengan 'percuma'nya kepada anak-anak mereka. Sampai masa pula, apabila anak-anak sudah dewasa, masing-masing sudah berjauhan dan tinggallah ibu dan ayah berdua sahaja seolah mereka kembali ke zaman sebelum mereka mendapatkan anak. Atas alasan ini, jika ada lagi yang bertanya kepada saya mengapa saya hanya duduk di rumah saja. Mohon kalian dapat memahami situasi dan keadaan saya yang sama sekali tidak akan pernah sama dengan keadaan kalian :). Berbakti pada ibu dan ayah adalah juga 'kerja' bagi seorang manusia dan kini menjadi 'kerja' saya sepenuh masa. Saya tenang dapat meringankan beban mereka walaupun hakikatnya tidak dapat membalas semua jasa-jasa mereka. Selagi belum sampai masa berakhirnya sebuah kehidupan yang sementara, diri ini masih lagi mahu berbakti pada mereka.

Ada jugak yang kata..

"Bosannya duduk rumah je. Tak ada life langsung la.. Pegi la kerja ke, dapat jugak duit, Tu kan dapat bantu diorang jugak.."

Alhamdulillah. Tak ada sesiapa pun dapat beli kebahagiaan yang saya rasa dengan berkhidmat kepada parents. Saya sangat-sangat bersyukur kerana dibesarkan di dalam keluarga yang sederhana dan disebabkan itu abah mendidik kami adik-beradik dengan sifat qana'ah (menerima dengan cukup apa yang ada). Allah telah menetapkan sesuatu perkara sesuai dengan keadaan hamba-Nya. Saya sangat tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang. Malahan mereka yang masih lagi berkata-kata tentang kehidupan orang lain juga masih lagi tidak berpuas hati dengan kehidupan mereka sendiri. Jadi kenapa perlu berkeluh kesah? Allah kan ada ;). DIA akan sentiasa berada dekat dengan hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersabar. Harta dunia adalah perkara yang paling tidak akan memberi kepuasan yang mutlak kepada manusia. Seorang jutawan yang sudah bertahun-tahun hidup dalam kekayaan juga mungkin masih lagi tidak berpuas hati dengan harta yang telah ada apabila melihat pesaingnya lebih banyak harta berbanding dirinya. Apalagi saya yang tidak berharta, berlebih-lebihla perasaan nak jadi kaya. Jadi mungkin lebih baik begini. Mungkin jika Allah memberi nikmat kekayaan kepada saya, serta merta saya menjadi lupa diri dan tidak mahu bersyukur sedangkan nikmat kesenangan dan kesusahan itu juga datangnya dari Allah.

Jauh disudut hati sangat cemburu melihat kawan-kawan yang bebas bersuka-ria, bebas mencipta masa depan sendiri, tetapi saya percaya setiap perkara yang kita lakukan pasti ada sesuatu yang perlu dikorbankan. Allah tidak akan sia-siakan umur yang diberi kepada hamba-Nya dengan begitu sahaja. Setiap perkara itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri pada saya dan juga kalian. Jadi saya memilih untuk bersyukur dan bergembira dengan setiap dugaan dan ujian yang Allah sajikan supaya saya sentiasa beringat umur hari ini tidak akan kekal malah akan semakin berkurang. Semakin berkurangnya umur semakin banyak penyesalan yang datang dengan dosa-dosa saya yang lepas, jadi sudah hebat aturan Allah. Allah memberi ruang untuk saya hanya duduk di rumah dan bermuhasabah dengan apa yang pernah berlaku dalam umur-umur yang telah pun berlalu dengan sia-sia..


Thanks to All Of U that still remembered me..

Semoga Allah merahmati kalian ^_~ ..

Wallahua'allam.

Khamis, 5 Mei 2011

Masalah?




Bismillahirrahmanirrahim..



Masa yang diberi dengan penuh kenikmatan selalu dirungut tidak cukup untuk melakukan perkara yang masih lagi terlalu banyak yang belum diselesaikan. Inilah manusia yang diberikan NAFSU. Tidak pernah cukup dan susah untuk mensyukuri apa yang masih ada di depan mata. Yang menginsafkan diri adalah masa yang diperolehi rasanya lebih banyak berbanding orang lain yang lebih banyak tanggungjawabnya tetapi masih mampu melakukan sedikit kebaikan untuk orang lain.


Allah..jadikan lah setiap perkara yang aku lakukan berupa kebaikan untuk Mu..


Hampir 3 minggu tak meng'update' blog, buntu kepala dengan masalah yang pernah dicipta tetapi Allah mengajar untuk sentiasa bersabar dan redha dengan semua ujian. Walaupun satu masa dulu memikirkan setiap masalah tu menjadi punca kelemahan diri, tapi sekarang atas masalah itu juga ana beroleh kekuatan, kekuatan untuk berserah diri kepada-Nya. Alhamdulillah.. tidak semua orang mampu menjadikan sesuatu masalah itu sebagai kekuatan untuk dirinya menjadi lebih dekat pada Allah. Manusia diberi akal dan nafsu yang menjadikannya lebih istimewa dari makhluk-makhluk yang lainnya. Namun, ramai juga tidak mengambil pengajaran dari masalah yang sedang dihadapi, menepuk dahi yang tidak bersalah, menghentak kepala di dinding, menumbuk cermin hingga tangan berdarah. Samalah juga dengan kita yang jarang sekali mahu meminta pertolongan dari Allah. Keinsafan ini kadang-kadang juga dilihat sebagai insaf yang sementara kerana apabila selesai sudah masalah, serta merta lupa diri. Ibarat kacang yang lupa pada kulitnya. Saja diambil sebab ramai pun sudah tahu maksudnya.. :)


Kesimpulannya..


Walaupun tidak mampu menyelesaikan masalah yang begitu meremuk redam perasaan dan menjadikan diri hampir tumbang.

Cubalah meminta kepada Allah yang Maha Mengetahui.

Allah tahu apa masalah kita sedangkan belum lagi kita memberitahu. Allah tahu apa yang ada di hati kita sedangkan belum lagi kita suarakan dengan sepenuh jiwa dan raga. Allah juga tahu kita sedang susah hati walaupun kita tidak langsung mahu meminta pertolongan dari-Nya.


Satu doa yang Rasulullah S.A.W. ajarkan. Boleh dijadikan amalan di setiap akhir solat :
"Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari kesulitan dan kesusahan, aku berlindung kepada Mu dari kelemahan dan kemasalan, aku berlindung kepada Mu dari sifat kikir dan pengecut, aku berlindung kepada Mu dari terbelit oleh hutang-hutang dan tertindas oleh orang lain.."



Wallahua'llam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...