Sabda Rasulullah s.a.w. :
كُلُّ بَنِى آدَمَ خَطَّاؤُوْنَ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ
"Sekalian anak Adam tidak sepi dari kesalahan-kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang segera bertaubat"

Jumaat, 15 April 2011

Dia Mendidik Aku

Bismillahirrahmanirrahim...

Suatu pagi..sedang melipat kain yang bertimbun.. kebiasaan rancangan di tv pagi-pagi banyak cerita animasi untuk budak-budak. Cadang nak tengok Nasi Lemak Kopi O di tv9. Tiba-tiba...

"Along..ajiq nak tengok cite katun..!" Haziq yang hampir mencecah 4tahun memandang aku dengan dahi berkerut.

"Dia buat dah.." aku cakap dalam hati je. Sempat jugak mengeluh panjang.

"Cepat la along!" dia dah mula nak merengek.

Aku pun cakap,

"Arini tak ada kartun la dik, along nak tengok cite ni, best. kita tengok cite ni erk.." aku pun pujuk-pujuk la dia.

Tiba-tiba lagi..

"Adaaa..along selalu tengok dengan ajiq tuuu.." kepalanya mengangguk-angguk. Aku terdiam jap. Tergelak.

"Ey ko ni pandai-pandai je ye.." aku dengan selamba sambung la lipat kain.

"Along niii..cepatlaa!" matanya melilau cari 'remote control'. Dah jumpa, dia bagi kat aku. Aku pandangla muka dia. Dia pandang muka aku.

"Nak watpe ni?" selamba dek je aku tanya. Dia pun cebik.

"Cepat tuka.." di sua lagi 'remote' kat aku. Aku tipu lagi.

"Along tak retila nak tukar..ajiq cuba la tukar.." aku dah geli hati sebenarnya. Bukan nak sangat tengok cite Nasi Lemak Kopi O tu. Tapi sesaje nak kacau dia.

"Cem mane along?" dia belek la 'remote' tuh. Tekan-tekan.

Tertukar la cite kartun kat tv3.

"Ni ada along..! Haa..betul ni.." dia gelak besar. Duduk la depan tv sampai la habis.

Selepas setengah jam..

"Along! Nak susu!" dah terbaring rupenye. Merengek.

Dengan malas, aku pun berkata..

"Ala dik..asyik nak susu je, adik kan dah besar.."

Lagila kuat dia merengek. Sambil pegang patung ultraman yang dah tak ada kepala. Sipi-sipi je lagi nak baling arah aku. Aku pun..

"Haa..baling, baling..along tak nak buat nanti.."

Papp!!

Memang dia betul-betul baling. kene la kat dinding belakang aku. Dia boleh jegil pulak mata kat aku.

"Oook., baling kat along ye.. sape ajar? ultraman ajar?" berusahala jugak tak nak tinggikan suara.

Dia pun diam. Tengok aku macam tak ada perasaan.

"Ajiq nak susu!!" dia jerit.

"Mintak maaf dengan along dulu cepat. Along tak ajar macam tadi kan.." selamba je la. Aku nak didik. Tak tau la berkesan ke tak.

"Along buatkan bila ajiq mintak maaf dengan along. Sampai bila, 'time' nak mintak susu je nak mengamuk ni..!" aku pandang mata dia. Hati aku kata..

"Paham ke dia apa yang aku cakap.."

Dia tak mintak maaf pun, tapi terus diam tak mintak susu dah.

Rupa nya ada lagi satu kartun. Lima minit, dia datang depan aku bawak botol susu dan..

"Along cepatla lipat kain tu..ajiq tunggu.."

Aku tergelak lagi. Boleh jugak dia dengar kata. Aku pun buatkan la susu.....


Tak sangka sebenarnya kalau kita ada masa untuk beri sikit perhatian dan belajar untuk mengambil masa untuk memberi manfaat untuk orang lain, kesannya sangat 'best'. Sebab masa umur dia baru 2 - 3 tahun dulu, aku selalu marah-marah dia, kadang-kadang cubit sebab memang dia sangat lasak dan tak nak dengar kata. Tapi pengajaran yang sebenarnya adalah dari kesalahan aku sendiri yang tak pernah beri peluang pada dia untuk berfikir. Sebab pada mula nya aku sendiri yang malas nak berfikir!

Tapi alhamdulillah, disebabkan nak jadikan dia seorang budak yang sangat mendengar kata, aku pun mula mencari cara untuk belajar mendidik dia. Walaupun kadang kala aku terpaksa merotan dengan manja, aku agak gembira kerana dia pun sudah semakin membesar untuk faham bila aku katakan apa sebab aku rotan dia. Aksi membaling-baling ultraman memang tetap akan ada kerana itu adalah proses kanak-kanak yang membesar. Apatah lagi dia melihat abang-abangnya pun dah kuat bertelagah. Semuanya menjadi cabaran bila nak membesarkan seorang kanak-kanak mengikut acuan kita. Belum lagi nak mengikut acuan Al-Quran. Memang agak sukar kalau tak dipraktikkan dari awal lagi. Lalu aku pun meniti laman-laman web yang dipercayai untuk mengutip ilmu. sekurang-kurangnya sedikit sebanyak dapat membantu. Dan bila terjumpa, rasa ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat. Jika anda tak ada adik pun mungkin satu hari nanti boleh menjadi panduan bila dah tiba masa menimang cahaya mata kelak. Insya Allah..

Sebahagian daripada yang dapat dikongsikan klik sini

Wallahua'llam.

Khamis, 14 April 2011

UKM

Bismillahirrahmanirrahim..

Kebelakangan nih BROADBAND CELCOM selalu jer slow. Maka, sudah semestinya kena lah bersabar dan redha. Kengkadang nak buka FB pun makan masa 15-20 minit! Wahh.. belum lagi nak buka video-video kat Youtube. Loading jer dah 30 minit! Nak jangka bila waktu boleh laju / slow pun dah tak reti. Jadi tiap kali nak surf, hadap jela if slow pun :) Tapi alhamdulillah lah slow-slow pun masih lagi boleh buka. Boleh juga la nak isi masa yang terluang. Mudah-mudahan masa yang terisi depan lappy dapat keberkatan dari Allah S.W.T. Sangat takut lah sebab alam maya ni lagi dahsyat pun berbanding alam realiti. Duduk je dah boleh dapat tengok macam-macam ( sebab penah ada pengalaman la ). Jadi bila tengah nak bukak lappy tu kena niat betul-betul dulu. Hati dan telinga ni belum tentu lagi tak kena hasut dengan iblis. Innallahama'ana. Tapi.. Allah kan ada ;) Lumrah ana yang kadang-kadang mengikut situasi boleh jadi lupa dari ingatkan Allah. Insya Allah dalam mendidik diri melazimi zikrullah, Allah mesti bantu :)


Ohh.. balik pada tajuk UKM ni. Salah satu website yang ana sangat suka belek-belek adalah iluvislam.com. Memang banyak sangat input berkaitan kerohanian boleh ana dapat dari website ni. Dalam internet tengah slow pun, loading boleh jadi cepat. Alhamdulillah. Kan dah kata Allah tolong :). Nak cari benda baik, untuk pengislahan diri ( merubah dari keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik ), memang kadang-kadang rasa susah sebab sorang-sorang, tapi macam biasa, Allah tetap ada untuk pandu kita ke arah kebaikan. Dan kali ni nak kongsi satu artikel yang sangat menarik perhatian ana. Mungkin sebab sekarang ana belum lagi menyambung pengajian ke universiti..hee. Selamat Membaca ^^, ..


Universiti Kehidupan Manusia


Kalau ditanyakan kepada orang tua, bilakan masanya dalam takah kehidupan ini mereka rasakan terlalu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan? Nescaya mereka menjawab, "semasa kami masih muda." Ya, bila seorang tua menoleh ke belakang, terasa begitu banyak perkara yang sepatutnya dibuat semasa muda, tidak dibuat. Sebaliknya banyak pula perkara yang tidak sepatut dibuat, telah pun dibuat. Sayangnya, kebanyakan orang muda tidak menyedari hakikat ini sehinggalah mereka sendiri meningkat tua. Lalu atas kealpaan itu mereka akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh bapa, datuk dan moyang mereka pada zaman mudanya. Pendek kata, ramai manusia lambat belajar di 'universiti kehidupan' ini. 'Kurikulum' pelajaran yang sepatutnya telah difahami usia muda baru dapat dihadami apabila kita meningkat tua. Alam adalah sebuah universiti yang luas dan besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan manusia terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk dihayati sepanjang hayat. Mungkin ini juga termasuk dalam maksud "tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad." Jika difahami, pelajaran-pelajaran tersebut akan memberi panduan untuk hidup yang lebih tenang dan bahagia. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup huru-hara dan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu.
Kurikulum pelajaran ini pula tersusun mengikut tahap usia dan tempoh kedewasaan seseorang. Justeru, di peringkat muda ada 'pelajaran-pelajaran' yang perlu benar-benar difahami sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah 'pelajaran-pelajaran' itu dan apakah cara untuk kita mempelajarinya? Itulah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap kita. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya 'selesai' pada usia muda terpaksa dibawa ke peringkat tua. Kalau begitu keadaannya maka rugilah. Sama seperti pelajar universiti yang terpaksa 'repeat' akibat gagal dalam peperiksaan semester mereka.

Proses Transisi

Para remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa. Tahap transisi ini tidak stabil. Umpama air (cecair) yang hendak bertukar menjadi wap (gas), maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.

Keadaan itu samalah dengan remaja, pada tahap itu jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen dalaman mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, ingin mencuba, perubahan biologi dan macam-macam lagi.

Dan di tahap ini juga para remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dalam hidup mereka dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.

Ada Pelajaran Untuk Difahami Dan Dihayati

Sesungguhnya semua itu tidak berlaku sia-sia melainkan ada 'pelajaran' yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Para remaja (malah orang tua sekalipun) mesti dapat membaca 'mesej' yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas kita. Jika tidak, kita terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali.

Sebab itulah dalam pengalaman kita, sering kita temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama. Abu misalnya, akan sentiasa 'pokai' setiap pertengahan bulan dan sentiasa merungut duitnya tidak cukup. Minah, sudah lima kali ditinggalkan kekasih dan mengeluh tidak ada lelaki yang benar-benar memahami perasaannya. Joe pula, telah tujuh kali jatuh motor dan marah-marah tentang nasib malang yang sedang menimpanya.

Anehnya mengapa Mat tidak mengalami masalah 'pokai' seperti yang selalui dialami Abu. Bedah tidak seperti Minah, dia telah pun bertunang dengan lelaki yang pertama dikenalinya? Manakala Samad, cuma sekali sahaja jatuh motor dalam hidupnya dan sekarang sedang selesa memandu Perodua yang baru dibelinya... Apakah yang menyebabkan keadaan atau nasib mereka berbeza?

Cepat Dan Lambat Belajar

Bezanya ialah ada diantara para kita yang cepat belajar dengan hidup sebaliknya ada di antara mereka yang tidak pernah atau lambat belajar. Yang belajar, akan 'naik kelas' dan layak untuk mengambil mata pelajaran baru yang lebih tingkat dan martabatnya. Yang tidak belajar, terpaksa mengambil mata pelajaran yang sama berkali-kali.

Abu, contoh kita tadi, tidak pernah belajar bagaimana mengurangkan perbelanjaan berbanding pendapatan... dan dia akan mengalami masalah yang sama walaupun kiranya nanti ia menjawat jawatan yang tinggi dan bergaji besar. Manakala Minah, tidak cuba mengenali kelemahan dirinya sendiri sebagai seorang wanita justeru dia sering menemui lelaki yang tidak sepatutnya dia temui.

Pasti Ada Didikan Terus Daripada Allah

Jadi langkah pertama supaya kita 'lulus' dalam pelajaran hidup ialah kita perlu akur bahawa setiap yang berlaku di dalam kehidupan ada unsur pengajaran dan didikan buat kita. Setiap peristiwa, pahit atau manis, setiap individu, baik atau buruk – hakikatnya adalah 'guru' yang mengajar kita. Dan setiap guru itu mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala kelihatan pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.

Untuk itu, apabila ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, "apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?" Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah 'mehnah' – maksudnya didikan terus dari Allah.

Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Allah. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehnah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sesiapaun. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.

Jika seorang datang membuat kita marah, maka dia adalah 'guru' yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita selalu 'kesempitan' wang maka itu tandanya kita harus bersedia belajar erti berjimat cermat. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.

Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik. Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Allah, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik kerana tujuanNya mendidik pun pasti baik.

Apakah sebenarnya yang menjadi 'tujuan' di sebalik 'pelajaran-pelajaran' yang datang dan pergi dalam hidup kita? Tujuan utama pelajaran dalam hidup ini adalah untuk mengubah kita ke arah yang lebih. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru hidup ini sendiri adalah satu proses perubahan yang berterusan.

Sudah menjadi sunatullah (peraturan Allah) yang tidak berubah dalam hidup ini adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan manusia. Kita akan kalah jika kita tidak berubah. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jika tidak, kita juga terpaksa berubah, mengikut kawalan orang lain atau keadaan sekeliling.

Manusia Umpama Nakhoda Di Lautan

Manusia umpama nakhoda yang belayar di lautan. Sebagai nakhoda kita punya arah dan destinasi tersendiri. Tetapi tiupan angin, pukulan gelombang dan cuaca tidak selalunya menyebelahi kita. Kekadang arah pelayaran kita ke utara tetapi angin bertiup ke selatan. Kita akan tersasar dari destinasi jika menurut sahaja tiupan angin.

Sebaliknya kita akan patah, jika terus berkeras menentang tiupannya. Jadi, apakah kita menjadi 'Pak Turut' yang terpesong tanpa prinsip dan haluan? Atau bersikap keras, rigid dan akhirnya patah kerana kedegilan melawan gelombang?

Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, "we can't direct the wind but we can adjust our sail." Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita. Inilah kelebihan manusia, sebagai khalifah.

Kita diamanahkan untuk mentadbir pendengaran, sentuhan, penglihatan, penciuman, penglihatan, fikiran, emosi, hati dan tindakan kita dalam lingkungan takdir-Nya. Oleh itu, dengan segala kuasa dan kelebihan yang ada, kita perlu berubah mengikut arah dan bentuk yang kita pilih dengan izin Allah jua.

Zon Selesa

Malangnya, ramai manusia yang tidak suka berubah. Ada kita bersikap 'selamba' dan 'relaks' dengan apa sahaja yang berlaku termasuk perubahan yang berlaku pada diri dan sekeliling mereka. Mengapa? Sebab perubahan ertinya hijrah atau berpindah. Setiap hijrah dan berpindah itu menagih kesusahan. Maksudnya, orang yang berhijrah terpaksa meninggalkan zon keselesaan (comfort zone) untuk menuju zon cabaran (courage zone).

Misalnya, anak kecil yang hendak berpindah dari tahap merangkak ke tahap berjalan, tentu terpaksa bertatih-tatih, jatuh bangun, jatuh dan terpaksa mengalami calar-calar dan sebagainya. Namun segala-galanya terpaksa dihadapi demi membolehkan dia berjalan. Apa akan jadi kalau ada anak kecil yang terus selesa merangkak dan tidak mahu belajar berjalan kerana takut cabaran? Tentulah tidak ada perkembangan dalam hidup. Maka begitulah para kita, dengan ujian mereka dituntut supaya berubah, jika tidak mereka tidak akan mencapai tahap kematangan untuk berjaya dalam hidup!

Ringkasnya, pelajaran dalam hidup datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna kita gagal dalam peperikasaan di universiti kehidupan kita. Apa yang menghalang kita berubah?

Salah satunya ialah keinginan untuk melihat orang lain, keadaan atau peristiwa di luar diri kita terlebih dahulu berubah. "Aku boleh jadi baik, jika guru dan ibu-bapaku melayanku dengan baik," begitu selalu yang kita dengar. "Kedudukan kewanganku boleh stabil, jika pendapatanku bertambah," kata sesetengah yang lain. "Jikalau aku mengenali seorang lelaki yang beriman, aku akan menjadi isteri yang solehah." "Kalau motorku dari jenis yang mahal, tentu aku tidak terlibat dengan accident lagi!"

Begitulah suara-suara kelohan dan harapan yang selalu diluahkan oleh hati kita. Semuanya, mengharapkan keadaan, individu lain dan peristiwa berubah – barulah kita mahu dan mampu berubah. Sedangkan hukum perubahan tidaklah begitu. Kita mesti berubah dulu, barulah keadaan, peristiwa dan individu lain berubah akibat perubahan kita.

Guru dan ibu-bapa akan melayan kita dengan baik, jika kita terlebih dahulu berusaha menjadi anak atau murid yang baik. Anda berjimat cermat dahulu, barulah kedudukan kewangan anda akan stabil. Anda jadi wanita solehah dahulu, barulah akan ada lelaki beriman yang akan melamar anda. Dan anda perlu baiki dan memandu motor 'buruk' anda dengan baik barulah anda tidak terlibat dengan 'accident' dan akhirnya layak untuk mendapat motor baru yang mahal harganya!

Pelajaran Yang Menuntut Perubahan Berterusan

Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita, sama ada baik atau buruk... itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan kita hadapi... maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan... Nanti kita akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.

Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan. Belajarlah di universiti kehidupan semasa masih ada masa lagi, supaya kita tidak diburu penyesalan apabila tempoh pengajian tamat (mati).

Kata pepatah, "belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air." Teringat kata Dale Carnargie, "jangan gergaji abuk kayu!" Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!

Buat diri ku dan diri mu, kuaklah tirai hari ini dan ingatkan diri... aku adalah pelajar di universiti kehidupan ini. Hari ini Allah pasti mengajar ku melalui perlakuan-perlakuan manusia lain kepada ku. Dan aku mesti belajar dengan orang lain, kejadian, peristiwa itu – pahit atau manis.

Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja' (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada 'musabbabil asbab' (Penyebab segala sebab) – wajah-Mu ya Allah. Pujuklah hati, katakan, didikan ini demi cinta-Nya jua.

Oleh : Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Jumaat, 8 April 2011

Semoga Allah Merahmati Kalian, Sahabat..

Bismillahirrahmanirrahim..

Persahabatan adalah sesuatu yang sangat perlu dihargai kerana melaluinya kita mengenali fitrah sesama manusia walaupun tanpa mengenali zahirnya. Cukuplah sahsiahnya sebagai ikutan. Dan sesungguhnya atas kasih sayang Allah juga sebuah persahabatan itu pasti akan terus bertahan jika Allah juga menjadi penghubungnya. Hari ini ana sangat bersyukur kerana dengan persahabatan, berpanjangan lagi silaturrahim yang telah dibina. Insya Allah..


Sedari dulu Allah telah menghadiahkan ana sahabat-sahabat yang terbaik dalam mengharungi hidup yang serba mencabar. Bukan kuantiti yang ana titik beratkan. Biarlah kualiti yang menjadi ingatan yang sentiasa dihati. Alangkah bertuah jika seramai-ramainya sahabat yang ada dapat menjadikan diri kita lebih baik segalanya dari semalam. Saling memerlukan antara satu sama lain, berkongsi apa sahaja cerita sama ada baik atau buruk. Dan sahabat yang paling terbaik adalah sahabat yang menerima kekurangan sahabatnya dengan hati yang sangat senang. Tidak lain semua kerana Allah. Hebatkan kuasa Allah.. apa sahaja yang terjadi jika bukan kesyukuran itu kita panjatkan kepada Allah.. hanya kerugian yang kita perolehi. Penghargaan ini hanya dari ana yang serba kekurangan, moga penghargaan dari Allah akan membahagiakan kalian :)


Buat Nur Azyyati..
Persahabatan selama hampir 15 tahun menjadikan aku merasa sangat bertuah kerana dikurniakan sahabat seperti kamu. Kamu adalah insan yang sentiasa menyayangi aku tanpa syarat, kerana kamu memang dilahirkan begitu. Ikhlasnya hati kamu atas sesuatu perkara aku doakan moga Allah memberi ganjaran dengan setimpalnya. Kerana yang termampu dari aku hanyalah persahabatan ini selama lagi aku masih bernafas dan doa-doa untukmu yang tak pernah putus. Semoga kamu sentiasa bergembira dan ketahuilah walaupun bibir ini begitu sukar menyebutnya. Hakikat yang selalu aku pendamkan adalah aku akan sentiasa menyayangi kamu sebagai 'kembarku'. Aku akan sentiasa mendoakan kamu beroleh kebahagiaan yang dicari. Sayang Ko !! :)


Buat Puan Fasihah Nur..
Ana sangat bersyukur Allah mentakdirkan kita sebagai sahabat. Segala ilmu yang enti kongsikan menjadikan ana semakin sedar dengan kasih sayang Allah yang sebenar. Alhamdulillah.. seperti tidak ada kata-kata lagi yang dapat diungkap kerana hati ana sentiasa sebak mengagumi perjuangan enti. Semoga kita menjadi sahabat juga di alam realiti kelak. Hanya enti juga yang dapat memahami ana walaupun tidak perlu ana mengadu apa-apa kepada enti. Hanya Allah jua yang Maha mengetahui segala sesuatu. Sayang syirah !! :)


Buat Kak Atiqah..
Perkenalan yang singkat tidak pernah membuatkan adek lupa pada akak. Kehidupan yang akak lalui menjadi inspirasi buat adek yang baru bertatih dalam perjuangan ini. Adek sangat mengharapkan tunjuk ajar dari akak. Semuanya kerana Allah. Dan atas kasih sayang ini, adek akan sentiasa mendoakan akak dikurniakan ketabahan yang luar biasa sebagai contoh wanita solehah buat semua muslimah dan juga buat adek sendiri. Moga persahabatan ini tidak sepi lagi untuk mencari redha Allah S.W.T. Sayang Akak !! :)

Untuk sahabat-sahabat lain yang pernah mengenali ana, Ketahuilah bahawa ana masih lagi mengingati anda semua. Sejak dari zaman sekolah rendah hinggalah di alam kolej. Semuanya masih lagi menjadi memori terindah buat ana. Hanya cuma ana diberi ujian untuk mempersiapkan diri menghadapi-Nya kelak menjadikan ana tidak dapat berhubung terus dengan anda. Ana sangat mengasihi kalian. Ana memohon sejuta kemaafan jika ada salah dan silap. Hutang dunia yang belum lagi ana langsaikan insya Allah akan ana usahakan. Tiada hadiah lain yang terbaik selain doa-doa untuk kalian. Semoga persahabatan kita akan kekal ke akhir nafas hingga ke taman syurga Allah yang abadi. Insya Allah..


Hanya pesanan yang dipanjang-panjangkan. Syukran jazilan insyirah :)

"Sentiasa redha dengan Allah nescaya kita beroleh kebahagiaan"


Pada suatu hari, seorang ulama' diuji dengan suatu musibah, kemudian beberapa rakannya berkunjung dan mereka menghiburkan hatinya. Selanjutnya dia berkata, aku telah membuat ubat dengan 6 bahan. Mereka bertanya, apakah itu? Dia menjawab :

Pertama
-Percaya kepada Allah

Kedua
-Aku tahu bahawa segala sesuatu yang ditakdirkan pasti terjadi

Ketiga
-Kesabaran adalah hal terbaik yang mesti dilakukan oleh orang yang sedang dalam ujian Allah

Keempat
-Bila aku tidak dapat bersabar, lalu apalagi yang dapat kulakukan, kerana kesedihan tidak akan pernah dapat menolong diriku

Kelima
-Mungkin jadi aku tertimpa sesuatu yang lebih buruk lagi dari yang ku rasakan sekarang ini

Keenam
-Dari waktu ke waktu aku hanya menikmati kegembiraan.

[ Jangan pernah mendahului nasib. Bermimpilah yang indah kerana mimpi itu harapan dan harapan itu doa ]


Wallahua'llam.

Selasa, 5 April 2011

Perangi Nafsumu

Bismillahirrahmanirrahim..


Selagi masih berkemampuan, tanggungjawab mesti sentiasa dipikul, jangan terlalu jauh berfikir untuk siapa, untuk apa dan apa ganjarannya. Kerana janji Allah itu sedia pasti! Lakukanlah untuk diri sendiri dan dengan izin Allah kemudiannya terbitlah dari hati mereka untuk mengikutinya. Insya Allah. Sesungguhnya sangat payah untuk memujahadahkan diri sendiri. Setiap kali meniti laman-laman usrah, erti kata perjuangan sentiasa diketengahkan. Namun ana sangat terkesan apabila meniti satu artikel tentang melawan hawa nafsu.


Nafsu yang sebenarnya kurniaan nikmat dari Allah adalah sangat berharga dan amat-amat perlu untuk mendidiknya. Ana juga sering lupa, dalam niat untuk menyedarkan orang lain, diri sendiri juga harus berkali-kali ganda tersedar dengan nikmat yang satu ini. Kadang-kadang jika sudah ada rasa ingin berubah tetapi mujahadah nafsu diabaikan maka sia-sia lah segala usaha memperbaiki diri kerana nafsu yang beraja di hati tidak dididik dengan sebetulnya. Ana sangat bimbang dengan hal ini kerana ana akui sifat yang satu inilah yang sukar dikikis dari hati yang masih lagi rapuh iman ini.


Atas kesedaran sendiri, ketika melayari internet ini juga kawalan nafsu perlu dititik beratkan. Jika tidak macam-macam juga hal yang boleh berlaku memandangkan apa sahaja maksiat boleh didapati dengan mudah dengan menggunakan internet. Tidak perlu pun mengaitkan tentang laman lucah. Cukup sekadar kita sedari bahawa membuat sesuatu sangkaan yang tidak elok apabila melayari laman facebook sahabat-sahabat juga merupakan nafsu yang ingin mencari kesalahan orang lain. Na'uzubillah. Memang sangat sukar untuk menghindar taktik nafsu ini. Tetapi jangan sesekali kita lupa, kita ada Allah. Jadikan akal yang diberi sebagai wasilah untuk membezakan yang mana baik dan buruk berlandaskan AlQuran dan Sunnah.


Untuk penerangan lebih detail, ana lebih suka untuk kongsi penulisan dari yang lebih arif untuk sahabat-sahabat. Insya Allah. Berusahalah kita untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Diri kita hanya kita yang menggerakkannya dan jangan jadikan pandangan orang lain sebagai tembok untuk melakukan perubahan. Kerana akhirnya perjuangan ini tetap kekal untuk diri kita sendiri. Ketika itu tidak ada pula sesiapa yang dapat menolong. Bahkan lebih malang syaitan pula yang mentertawakan kita. Na'uzubillah.

Erti Mujahadah dan Kepentingannya

Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah.

Demikian yang dapat difahami daripada kaedah, "tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib."

Berdasarkan itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah:

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya" (Surah al-Naziat: 40-41)

Melawan hawa nafsu juga adalah syarat untuk mendapat pimpinan Allah.

Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya:

"Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa." Baginda juga bersabda: "Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah."

Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu.

Istilah "mujahadah" berasal daripada kata "al-jihad" iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul.

Inilah maksud kata-kata Imam al-Ghazali: "Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin."

Selain itu ilmu, taktik dan strategi melawan hawa nafsu wajib dipelajari. Bahkan kita tidak akan menang jika dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan semberono. Malangnya, ilmu tentang mujahadah ini seolah-olah terpinggir pada masa kini. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tidak dibicarakan lagi.

Ironinya, jika dengan musuh zahir yang jarang-jarang kita berdepan dengannya, kita sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan sejata, mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk persiapan berperang, tetapi dengan hawa nafsu yang setiap detik kita berperang dengannya, mengapa ambil tidak indah sahaja.

Sedangkan nafsu ini adalah musuh yang paling berbahaya, yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius. Rasulullah s.a.w. bersabda:"Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya."

Prinsip Asas Dalam Melawan Hawa Nafsu

Berikut tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:

1. Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.

Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa).

Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.

Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain.

Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.

2. Membebankan nafsu itu dengan ibadah.

Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat.

Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk 'menyeksa' nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.

Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid).

Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan.

Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.

3. Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.

Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah.

Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu).

Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.

Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:

"Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini:

"Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu."

Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah:

"Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku."

Langkah-Langkah Jalan Mujahadah

Langkah-langkah tersusun untuk melawan hawa nafsu seperti berikut:

1. Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.

Belajar mengenai sifat-sifat mahmudah dan mazmumah (ilmu akhlak atau tasawuf) adalah wajib.

Kita mesti mendapat ilmu yang digali daripada al-Quran dan Sunnah untuk mengetahui sifat-sifat nafsu, angkara kejatannya dan bagaimana melawannya. Para ulama telah mempermudahkan ilmu-ilmu ini mengikut kategorinya tersendiri.

2. Membina kesedaran dan keazaman yang tinggi.

Tidak cukup dengan mempunyai ilmu sahaja tanpa kesedaran dalam hati dan keazaman yang kuat untuk mengamalkannya. Bagaimana jika kita hanya ada senjata (ilmu) tetapi tidak ada keingininan yang kuat untuk mngamalkannya apabila diserang musuh?

Ilmu bukan untuk pengetahuan dan kefahaman semata-mata, tetapi yang lebih penting untuk diamalkan.

3. Mempraktikkan ilmu.

Inilah tahap yang paling sukar tetapi inilah tahap yang paling penting.

Perkara ini memerlukan satu iltizam yang kuat dalam diri kerana apa yang disukai nafsu adalah juga yang disukai oleh diri kita sendiri. Ramai orang yang tahu sesuatu kebaikan tetapi masih malas melakukannya. Dan ramai yang tahu sesuatu kejahatan tetapi masih tega melakukannya.

Semua itu kerana mereka belum 'mahu', dan baru sekadar 'tahu'.

Pengetahuan itu dicapai melalui proses belajar manakala kemahuan dibina dengan mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Dengan mempraktikkan ilmu barulah ilmu yang bertapak di akal dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh sebab itu 'tahu' tempat letakkannya di akal tetapi 'mahu' itu letaknya di hati.

4. Terus melatih diri dan bersifat konsisten melawannya.

Ramai juga orang yang telah tahu dan mahu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, tetapi tidak lama, mereka berpatah semula ke belakang. Bak kata peribahasa Melayu sekadar "hangat-hangat tahi ayam". Mereka tidak berdaya untuk konsisten (istiqamah) dalam kebenaran.

Apa yang perlu ialah latihan yang berterusan agar tahap pengetahuan dan kemahuan itu diteruskan hingga ke tahap kemampuan.

Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap.

Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:

"Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit."

"Alah bisa, tegal biasa," begitulah nafsu yang jahat jika dilatih berterusan untuk melakukan kebaikan, akan terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan dan kebajikan.

Sampai ke tahap ini, nafsu itu akan menjadi tenaga penggerak atau kenderaan (kuda tunggangan) kepada manusia. Umpama, racun pada ular senduk – di situ ada racun, di situlah juga ada penawarnya.

Sebab itu ditegaskan berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.

Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan.

Nafsu seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan, keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerak kepada pembangunan ummah.

Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan memberi tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan perniagaan, industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan dalam bidang bioteknologi dan sebagainya.

Manusia yang dibekalkan dengan unsur nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi khalifah di muka bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah.

Sebaliknya, malaikat tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada sebarang keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa akal).

Jangan menoleh ke belakang... tempuhlah jalan mujahadah.

Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah.

Tidak ada jalan pintas!

Oleh : Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Isnin, 4 April 2011

Apa Destinasi Cinta Anda?

Bismillahirrahmanirrahim..


Berlalu pergi masa-masa yang Allah beri dengan mudahnya. Mudah-mudahan masa-masa itu dilalui dengan penuh rasa syukur. Sungguh masa-masa yang sudah berlalu, tidak akan sesaat pun kembali walau ditangisi airmata darah sekali pun. Ia akan tetap menjadi sejarah walau dijalani dengan cara baik atau buruk.

"Ya Allah.. ampunkanlah segala dosa-dosa yang ku lakukan sama ada secara sedar atau tidar sedar.. amin.."

Telah pun menjadi rutin apabila setiap pagi setelah ibu dan abah ke sekolah, menunaikan tanggungjawab murni mereka sebagai guru, ana dan adik akan memulakan proses mengemas rumah. Kebetulan pula tv9 menyiarkan rancangan Tanyalah Ustaz hampir setiap pagi dan alhamdulillah secara tidak langsung telah mendidik diri untuk sentiasa menyukai rancangan-rancangan berbentuk keagamaan. Ana bukan lahir dari biah solehin. Jadi sebenarnya agak sukar juga suatu masa dahulu nak memulakan sesuatu yang janggal bagi pandangan mata orang lain. Tetapi perubahan menuntut sifat istiqamah. Dan yang paling penting kemudiannya adalah perbuatan yang akan memperlihatkan sama ada kita ini benar-benar berubah atau sekadar menyukai rancangan sebegitu.


Banyak perkara yang mahu di ubah apabila ana sudah sedar dengan realiti kehidupan sebenar. Mahu jadi wanita yang solehah, mahu juga jadi seorang isteri yang solehah suatu hari nanti dan bla bla bla. Lalu ana teringatkan kisah-kisah waktu muda dulu, bermulanya episod menjadi remaja yang sangat suka memberontak, bila difikirkan kembali, rasa nak menangis, macam tak logik dan bermonolog sendiri :

"Aku tak penah guna otak ke dulu?"

Huhu.. tragisnya bila terpinga-pinga tersedar diri sendiri boleh terkeluar soalan macam tu. Tapi semua tu lumrah bila di peringkat remaja, hati yang selalu dikatakan bosan dan sunyi sebenarnya sangat lemah dan jauh dari iman. Sebab tu sebahagian besar zaman remaja di kalangan kita dihabiskan dengan bercintan-cintun. Sape kate ana terkecuali? Ana pun turut sama bermain saham dalam episod cinta monyet ni. Terjebak sejak di zaman persekolahan, sebahagian dalam kelas ana dulu puratanya masing-masing sudah ada yang punya. Wahh..masa tu memang sangat-sangat jealous pada sahabat-sahabat sebab yelah masing-masing dah boleh rasa disayangi, kononnya dicintai..dan hakikat sebenar cinta belum luas diterokai. Juga masih lagi mencari destinasi cinta mana yang hendak ditujui.


Dan dipendekkan cerita. Hanya jiwa dan jasad yang kosong mencari cinta yang menjanjikan seribu kata-kata manis yang sebenarnya mereka sendiri pun belum tahu boleh menunaikannya. Dan termasuklah ana sendiri. Pengalaman itu menjadikan ana buta seketika dan khayal dibuai bahawa dialah satu-satunya pelindung yang kekal, tidak ada lagi yang boleh menggantikan kesetiaan dia, dia lah saja yang rela berbuat apa sahaja demi cintaku padanya.. Hahaha..


Memang dah tergelak pun ana bila mencoret kisah ini sendiri. Jemari terbuai-buai di laman keyboard laptop tapi kadangkala menekan butang 'backspace' takut ada istilah yang membuatkan sahabat tidak faham dengan coretan ana. Ingin diingatkan bahawa coretan ini hanya isi hati ana dan ana selitkan mungkin tidak banyak kesedaran namun semua itu terpulang kepada setiap individu untuk menilai cinta apakah yang sedang anda semua lalui sekarang ini apabila buka saja di 'inbox' handphone, tertera mesej berbunyi :


"Dear..i love u so much..only u in my heart.. "


Ya. Memang ini pengalaman ana :) . Dan hanya yang melalui pengalaman ini jika tersedar akan lah terasa betapa bodohnya kita apabila membiarkan diri sendiri khayal dalam janji palsu sedangkan Allah itu ada di hati kita. Cuma kita yang membiarkan syaitan menghasut untuk merasai betapa bahagianya cinta palsu yang diagungkan syaitan ini. Yang ana lalui adalah sepanjang percintaan yang melalaikan, bila pulak masanya ye ana melatih diri untuk menjadi isteri yang solehah? Lagi pula, betul ke sang lelaki sudah terfikir-fikir untuk menjadi sang suami yang soleh? Yang ana tahu, 24jam kalau jam tu ada space untuk banyak nombor lagi, nak je dicukupkan 30jam sehari leka bermain sms bersama sang kekasih sehingga kadangkala solat terabai. Ya memang benar ada juga sang kekasih yang setia menasihati supaya jangan ditinggalkan solat, tetapi logik kah apabila kata-kata rancak menasihati tetapi perbuatan nampaknya masih lagi aktif sedang ber'sms'. Wallahua'lam. Bukanlah di dalam bidang kuasa ana untuk mengetahui aktiviti mereka-mereka. Tetapi inilah yang terjadi pada ana dan mungkin ia tidak pernah terjadi pada anda. Kita dikurniakan cukup sifat akal dan fikiran untuk membuat keputusan dan setiap gerak geri kita sendiri. Jadi biarlah anda yang memutuskan :) .






Jika cinta itu dikatakan buta kerana tidak mengenal paras rupa, maka cintailah Allah kerana belum pun kita membalas cinta-Nya, Allah sudahpun berlebih-lebihan memberikan cinta-Nya tanpa kita sendiri yang meminta. Berbeza tidak dengan sang kekasih hati yang setiap hari kita juga yang perlu melafazkan "I Love U", itupun belum tentu lagi cinta kita dibalas. Malah ada juga yang selalu makan hati dek kerana sang kekasih hati lambat berbalas 'sms'.

Jika cinta itu dikatakan tidak mengenal usia, maka cintailah Allah tidak kira berapa usia kita, remaja, dewasa apalagi sudah tua kerana Allah sudi memberikan cinta-Nya kepada kita sejak kita di dalam perut ibu lagi sehinggalah dimana kita bernafas sekarang.

Dan jika cinta itu dikatakan tidak mengenal erti jemu, maka cintailah Allah tidak kira kita didalam sihat atau sakit sebagaimana kita ini sanggup kononnya meredah api dan lautan untuk sang kekasih walaupun belum tentu lagi dapat dibalas dengan usaha sebegitu rupa.


Jika dulu destinasi cinta anda sentiasa ingin bersama dengan sang kekasih hati, namun sedarlah selama mana pula kita ini dapat hidup bersama kekasih yang dirindui sepanjang masa, sedangkan Allah jua lah yang memberi sang kekasih hati kita nafas untuk mengucapkan pula kata-kata cinta kepada kita. Allah. Betapa besar dan luasnya fitrah cinta Mu yang masih lagi kami tidak terokai, malah kami pula rela merasai nikmat cinta yang sementara juga terhadap hamba Mu sendiri.


Bukan pula ana menidakkan fitrah manusia yang memerlukan pasangan untuk berkasih sayang, tetapi itu juga sebenarnya atas ihsan Allah yang sudi memberikan. Ya Allah.. layakkah aku ini mendambakan seorang pendamping yang menyayangi diriku sedangkan aku pula masih lalai untuk mendapatkan cinta dari Mu. Berusahalah mencari destinasi cinta anda yang benar-benar memuaskan hati, tidak pula menjadikan kita terluka, cinta yang menjadikan kita kenal fitrah diri sebagai manusia dan cinta yang menjadikan diri kita sentiasa tidak bosan dan tidak akan berlaku 'curang' terhadap kekasih kita. Jawapannya sudah ada di dalam hati anda, hanya tinggal anda sahaja perlu berusaha untuk mengenali-Nya.


Wallahua'lam.

Jumaat, 1 April 2011

Jodohnya Di Syurga

Bismillahirrahmanirrahim..


Maha Suci Allah yang sentiasa mengasihi kita dengan memberi nikmat-nikmat yang tak terhitung. Kadangkala terasa jauh di sudut hati bila masih lagi berkesempatan untuk berbuat sesuatu tetapi hati selalu je bermalas-malasan. Tanda syaitan sedang mempelopori nafsu. Walaupun sedang diuji dengan sedikit kesakitan, akal terdetik..umat-umat Islam di Libya kini lebih berat diuji. Dengan itu, ana kuat dengan sendirinya :)


Terlalu banyak perkara yang mahu diperkatakan, tetapi seringkali berfikir hampir 10 kali, perlukah sesuatu yang lahir hanya dari hati yang bergelumang nafsu diluahkan. Takut orang sekeliling memperkatakan dengan lebih banyak lagi kekurangan yang terbit dari penulisan yang tak seberapa. Namun jika perbuatan di iring niat dan rindu pada-Nya, hati dengan penuh pengharapan, semoga Allah mudahkan segala urusan untuk kebaikan. Insya Allah...


Sekadar mahu berkongsi satu kisah dan akan sentiasa menjadi satu pengajaran untuk ana sendiri sebagai remaja dan semoga akan juga bakal menjadi ingatan untuk sahabat-sahabat yang ana sayangi :)


Jodohnya Di Syurga


Bersumber dari Raja bin Umar An-Nakhai, dia pernah bercerita: Dahulu di kota Kufah tinggal lah seorang pemuda tampan rupawan yang tekun dan rajin beribadat, dan dia termasuk salah seorang ahli zuhud. Suatu hari pemuda itu singgah di kalangan kaum An-Nakha dan di sana dia bertemu dengan seorang gadis yang cantik. Sejak melihatnya pertama kali, dia pun jatuh hati dan tergila-gila oleh kecantikannya. Demikian juga si gadis yang merasakan hal serupa sejak pertama melihat pemuda itu. Si pemuda lalu mengutus seseorang untuk meminangnya, tetapi ternyata gadis tersebut telah dipertunangkan dengan putera bapa saudaranya.


Mendengar keterangan ayah si gadis itu, mereka berdua menahan beban cinta yang sangat berat. Si gadis tadi kemudian mengutus seorang hambanya untuk menyampaikan sepucuk surat kepada pemuda tambatan hatinya: Aku tahu betapa engkau sangat mencintaiku, dan kerananya, betapa besar penderitaanku terhadap dirimu sekalipun cintaku tetap untukmu. Seandainya engkau berkenan, aku akan datang berkunjung ke rumahmu atau aku akan memberikan kemudahan kepadamu bila engkau mahu datang ke rumahku.


Setelah membaca isi surat tersebut, si pemuda kacak itu pun berkata kepada utusan wanita pujaan hatinya, Kedua tawaran itu tidak ada satu pun yang kupilih! Sesungguhnya aku takut akan seksaan hari yang besar bila aku sampai derhaka kepada Tuhanku. Aku juga takut akan neraka yang api dan jilatannya tidak pernah surut dan padam.


Pulanglah utusan kekasihnya itu dan dia pun menyampaikan segala yang disampaikan oleh pemuda itu. Si gadis lalu berkata, Selamanya aku belum pernah menemui seorang yang zuhud dan selalu takut kepada Allah SWT seperti dia. Demi Allah, tidak seorang pun yang layak mendapatkan gelaran kemuliaan kecuali dia, sedangkan kebanyakan orang adalah munafik.


Setelah berkata demikian, gadis itu lalu melepas segala urusan duniawinya serta membuang jauh-jauh segala sesuatu yang berkaitan dengan dunia. Dia pun memakai pakaian dari tenunan kasar dan sejak itu tekun beribadat, sementara hatinya merana, badannya juga kurus oleh beban cintanya yang besar kepada pemuda yang dicintainya. Dan kerinduannya yang mendalam menyelimuti sepanjang hidupnya hingga akhir hayatnya.


Setelah gadis itu meninggal dunia, sang pemuda sering pula berziarah ke makamnya. Pada suatu ketika dia bermimpi seakan-akan melihat kekasihnya dalam keadaan yang sangat menyenangkan. Pemuda itu pun bertanya, Bagaimana keadaanmu dan apa yang kau dapatkan setelah berpisah denganku
Gadis kekasihnya itu menjawab dengan menyenandungkan untaian syair:


Kasih...
cinta yang terindah adalah mencintaimu,
sebuah cinta yang membawa kepada kebajikan.
Cinta yang indah hingga angin syurga berasa malu
burung syurga menjauh
dan malaikat menutup pintu.



Mendengar penuturan kekasihnya itu, pemuda tersebut lalu bertanya kepadanya, Di mana engkau berada?? Kekasihnya menjawab dengan melantunkan syair:


Aku berada dalam kenikmatan
dan kehidupan yang tiada mungkin berakhir
berada dalam syurga abadi yang dijaga oleh para malaikat
yang tidak mungkin binasa
yang akan menunggu ketibaanmu, wahai kekasih.



Pemuda itu kembali berkata kepada kekasihnya, Di sana aku mohon agar engkau selalu mengingatiku dan sebaliknya aku pun tidak dapat melupakanmu!


Dan demi Allah, aku juga tidak akan melupakan dirimu. Sungguh, aku telah memohon untukmu kepada Tuhanku juga Tuhanmu dengan kesungguhan hati, sehingga Allah berkenan memberikan pertolongan kepadaku.." jawab gadis kekasihnya itu.


Pemuda itu kembali berkata kepadanya, Bila aku dapat melihatmu kembali?
"Tak lama lagi engkau akan datang menyusulku kemari.." jawab kekasihnya.


Tujuh hari sejak pemuda itu bermimpi bertemu dengan kekasihnya, ia meninggal dunia. Semoga Allah sentiasa mencurahkan kasih sayang-Nya kepada mereka berdua dan mempertemukannya kembali di syurga.



Sahabat ku sayang..
setelah lelah kau berusaha menyayangi dirinya,
Allah jua akhirnya yang menyatukan,
jika bukan di dunia, beristighfarlah sahabat,
sungguh Allah bakal memberikan suatu ganjaran
yang lebih baik untukmu,
berusaha lah sesungguhnya untuk menggapai cinta yang kau kejar,
dengan mencintai satu-satu-nya Penciptamu..

Aku percaya,
suatu hari nanti,
tanpa aku lagi mengingatkan mu,
Allah jua lah yang layak,
memberi suatu kebaikan itu khas untukmu..

Wallahua'allam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...