Hampir 2 minggu kembali menjadi 'seorang anak' sepenuh masa. Mula-mula terasa sangatlah bosan sebab macam tak ada benda yang nak dibuat. Rutin harian macam biasa kena kemas rumah, kemas dapur, uruskan baju-baju dan bla bla.. sehinggalah ana dan keluarga dikejutkan dengan permergian arwah atuk sebelah abah yang sebelum ini dipanggil Tokbak. Arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12.30 tengah hari pada hari Rabu, 16 Februari 2011. Sepanjang perjalanan kami ke Batu Pahat, Johor yang selalu nya mengambil masa dalam 4 jam untuk sampai, alhamdulillah kami sekeluarga tiba dalam masa 2 jam sahaja dan sempat menatap wajah arwah untuk kali yang terakhir selepas disembahyangkan. Sebak yang tidak terungkap, wajah arwah sangat bersih dan langsung tidak cengkung seperti kali terakhir ana berjumpa dengan arwah pada hari raya pertama tahun lepas. Arwah menghidap sakit buah pinggang dan perginya kerana sakit tua. Begitulah manusia, tiba masa dan janji Allah itu pasti, kita akan tinggalkan dunia yang sementara. Tanpa ada apa-apa bekalan kecuali segala amalan yang kita lakukan di dunia.
Sepanjang 3 hari di kampung, seluruh keluarga kami berkabung dan menurut abah, tokbak berpesan supaya tidak di adakan kenduri tahlil. Arwah hanya mahu doa-doa yang berterusan dari anak-anak dan seluruh keluarga. Kami menurut dan percaya arwah ada sebab yang tersendiri. Ada jugak yang bertanya kepada ana :
"Tak buat kenduri tahlil ke?"
"Bukan ke wajib kena buat?"
Wallahua'allam.
Ana hanya mengikut kepercayaan bahawa apabila seorang manusia itu mati hanya 3 perkara yang masih bertalian :
1. Amalan yang dikerjakan di dunia,
2. Doa-doa dari anak-anak yang soleh, dan
3. Ilmu yang diturunkan oleh si mati kepada generasi seterusnya.
Jika keluarga si mati berniat melakukan kenduri tahlil, biarlah niat semata untuk sama-sama bersedekah Al-Fatihah dan Surah Yassin dan sekiranya ingin menjamu tetamu dengan juadah-juadah, biarlah sekiranya perkara itu diniatkan sebagai amal jariah. Bukan untuk sampainya sedekah itu kepada si mati. Wallahua'llam..
Ana faham dengan peralihan zaman, kehendak adat dan budaya melayu, kebanyakannya jiran tetangga mungkin akan tertanya-tanya mengapa kenduri tahlil tidak di adakan dan ana pula sudah faham, walaupun tidak begitu rapat dengan arwah, ana dan keluarga sudah terbiasa dengan didikan agama yang tegas dari arwah dan arwah tidak akan mempedulikan kata-kata orang sekeliling selagi segala ajaran dan ikutan tidak bertentangan dengan syariat Islam dan amalan Rasulullah S.A.W. Cuma sehari selepas pemergian arwah, pada hari Khamis, kami menjamu ahli jemaah surau dengan buah-buahan selepas selesai solat Maghrib, bacaan yaasin dan seterusnya solat Isyak secara berjemaah. Kami bersyukur semuanya berjalan dengan lancar dan sehingga kini tidak ada lagi kedengaran suara-suara yang tidak menyenangkan berkenaan dengan pendirian arwah.
Sudah seminggu permergian arwah, sedikit demi sedikit ana dan keluarga mula dapat menerima dengan tabah. Segala yang berlaku adalah janji Allah pada kita. Sebagai manusia, kita hanya mampu berserah dan berusaha mempertingkatkan amalan selagi masih lagi bernyawa. Moga roh arwah dicucuri rahmat-Nya dan titempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah...
"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan